Rafizi Bakal Tersadung, Nurul Izzah Tetap Anak Kandung

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

SALAHKAH bertanding untuk merebut jawatan kepimpinan dalam parti? Adakah demokrasi menghalang proses pemilihan melalui pertandingan dalam parti?

Jawapannya, bertanding merebut jawatan dibenarkan. Itu sistem yang diamalkan sejak kita mengenal demokrasi. Bukankah pilihanraya itu juga melunasi hukum demokrasi berparlimen.

Jika itu asasnya, maka perebutan jawatan antara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) absah dan wajar.

Soal Nurul Izzah anak kepada Anwar Ibrahim, itu satu perbahasan lain. Hujah asalnya bertanding diharuskan dalam lunas demokrasi.

Soal parti akan rosak, retak, hancur dan mungkin melemah, itu juga bukan isu. Tidaklah semudah itu parti terus hancur berkecai akibat pertandingan. Ada banyak faktor lain penyumbang kepada kehancuran sesebuah parti.

Misalnya, politik wang, rasuah politik, pembunuhan karakter, tiada ketaatan kepada pemimpin, tamak, rakus dan ghairah mengejar ghanimah (harta, wang) itu sebenarnya lebih menghancurkan bukan sahaja PKR, tetapi juga UMNO, Pas, Bersatu, DAP dan semua parti-parti politik di tanah air kita.

Soal perpecahan dalaman, pergolakan, konflik dan pertelingkahan sesebuah organisasi politik, itu biasa. Ini terkait soal disiplin ahli dan wibawa kepimpinan sesebuah parti.

Jika diuruskan dengan baik, pemimpin bertindak sebagai Imam yang adil, amanah, beretika, jujur dan mengutamakan ahli manakala pengikut menjadi Makmum yang juga baik, sedia merapatkan saf, tertib dan mengikut pergerakan Imam dengan menjaga segala syarat dan rukun, parti akan teguh.

Isunya, tidak mudah seperti diungkapkan, ahli-ahli parti, aktivis politik dan pemimpin banyaknya berperangai hodoh, rakus dan haloba. Mulut berkata, demi rakyat, tindak tanduk semuanya koyak.

Cakap tak serupa bikin. Itulah tragedi cukup malang dalam amalan siasah di negara kita. Ia sudah menjadi virus menyelinap dalam semua wadah siasah di tanah air. Baik parti berteraskan agama, kebangsaan, kaum atau apa sahaja anutan ideologi – hampir semuanya gagal memenuhi fungsi taklif kepimpinan.

Memburukkan lagi keadaan, aliran maklumat yang pantas bak kilat mudah melondehkan semua perkara di kalangan pemimpin dan aktor politik. Yang baik terselubung atau lenyap terus apabila media sosial melaporkan segala-galanya tanpa saringan dan tapisan.

Dua insan Rafizi dan Nurul Izzah sekadar pemain biasa politik. Takkanlah bila kedua-duanya bertarung, terus hancur parti, negeri dan negara. Kedua-duanya bukan ada penawar, sentuhan ajaib atau apa sahaja formula untuk merawat luka bangsa dan derita umat.

Kita memerlukan penawar lebih mujarab daripada itu. Yang kita perlukan pemimpin yang berpegang dan mengamalkan empat ciri-ciri khas kepimpinan, iaitu sifat wajib Nabi Muhammad s.a.w., iaitu Siddiq (Benar), Tabligh (Menyampaikan), Amanah dan Fatanah (Bijaksana). Soalnya, hampir tiada lagi di kalangan pemimpin dan pemain politik yang mahu berkisah tentang amalan empat sifat asasi kepimpinan ini.

Walhasil, yang kita lihat sifat takbur, sombong, angkuh, besar kepala dan menganggap “aku lebih pandai” dan mengherdik “engkau tahu apa.”

Sifat itu ada pada Rafizi, mungkin juga ada pada Nurul Izzah dan semua pemimpin dalam semua parti politik. Sebabnya, semua berasa ada kuasa, pengaruh dan wang ringgit yang boleh membeli kedudukan.

Hakikatnya, semua pemimpin dalam semua parti politik tidak maksum. Semua ada bebanan atau liabiliti, ada kelemahan, ada kekurangan. Kita hanya berharap satu bentuk kepimpinan kolektif untuk membentuk kerajaan atau kepimpinan dalam parti dianggotai pemimpin yang berintegriti, berilmu, beriman (percaya kepada Tuhan bagi yang bukan Islam) dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Rafizi dan Nurul Izzah yang sedang galak berkempen harus beringat. Kuasa bukan mutlak, politik dan siasah bukan segala-galanya. Kuasa boleh menaikkan dan menurunkan.

Dalam politik tuah dan celaka sama naik. Sebab itu Imam Al-Ghazzali pernah beruzlah daripada politik. Ibnu Khaldun meninggalkan lapangan siasah kerana hakikatnya politik itu memang ada sisi kejamnya.

Setakat ini, penulis mendapati Rafizi sedang mendahului dan mewarnai seni kekejaman berpolitik. Dia mungkin berasa cerdik, pintar, banyak formula tetapi dia jangan lupa “Raja Segala Formula” juga sedang memerhatikan.

Nurul Izzah memang anak Anwar dan Azizah tetapi harus diingat ketika tragedi pahit 1998, dia kehilangan sebuah harga diri dan kebebasan. Dia terpaksa menyalakan obor perjuangan ketika rakan-rakan sebaya tenang meneruskan pengajian di universiti.

Anwar pernah diinjak separuh mati, Nurul Izzah membesar dengan menanggung bebanan dua kali Sang Ayah di penjara. Hanya takdir Ilahi dan takdir sejarah telah merubah peta perjalanan politik Anwar, Azizah dan Nurul Izzah.

Rafizi juga ada saham dan sumbangan menghidupkan bara api reformasi. Tetapi, dia harus ingat, sentuhannya tidak selalu merakyat. Dia selalu menjual formula tetapi hampir semua formulanya tidak berhasil.

Dapatan survei ketika pilihanraya ke-15 sekadar beretorika “kita sedang mendahului” sedangkan hakikatnya rakyat sedang menolak!

Jika UMNO dan gabungan parti-parti di Sabah dan Sarawak tidak bersama Pakatan Harapan (PH), Anwar hari ini masih kekal sebagai Ketua Pembangkang. Rafizi akan terus berteori dan beretorika. Dan dia lincah beretorika kerana sifat lidah memang tidak bertulang.

PKR memerlukan pemimpin pemersatu, gendangnya bukan kosong, retoriknya bukan mengirim isyarat dan mesej palsu.

PKR kini parti berbilang kaum berteraskan ideologi keadilan, kesaksamaan, kesejahteraan. Ideologi Reformasi jangan mati. Mustahil reformasi boleh berlaku sehari semalam. Reformasi bererti perjuangan menegakkan Islah sampai mati.

Dalam pertembungan ini nampak gayanya seseorang sedang melakukan harakiri politik. Dia tidak memilih untuk “syahid” kerana pertimbangan untuk menegakkan gagasan Madani semakin tersasar!

Cuma sebagai rakyat, kita tidak boleh terlalu ideal. Jika terlalu ideal, kita tidak akan memiliki pemimpin!

Nurul Izzah tetap anak kandung manakala Rafizi bakal tersadung!

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *