Nik Saiful Adli Burhan

Bila Pula Wujud Undian Rakyat Dalam Sistem Pengampunan Diraja?

KOTA BHARU – Kuasa diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong yang memperuntukkan bahawa pengampunan terhadap seseorang pesalah, tidak memerlukan undian majoriti rakyat.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan, keputusan itu adalah berdasarkan pertimbangan Lembaga Pengampunan yang melibatkan beberapa individu termasuk Perdana Menteri, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara serta nasihat yang diberikan oleh mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya terpanggil untuk mengulas satu tinjauan oleh Stability & Accountability for Malaysia (Projek Sama) dengan laporan mereka bertajuk, “No Dua Darjat: Persepsi Awam Terhadap Keseimbangan Hukuman Jenayah, Tahanan Rumah dan Rayuan Pengampunan Najib Razak” yang ditugaskan kepada Merdeka Centre, sebagaimana dilaporkan media utama semalam.

“Ingin saya membuka minda semua dengan suatu fakta bahawa pengampunan diraja adalah salah satu kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Setakat pengetahuan saya, perkara ini memperuntukkan bahawa pengampunan terhadap seseorang pesalah tidak memerlukan undian majoriti rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh mengulas laporan media berhubung kenyataan Projek Sama yang mendakwa, kajiannya menunjukkan 57.8 peratus responden percaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disabitkan kesalahan tidak sepatutnya diberikan pengampunan bagi hukuman penjara atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam perbicaraan SRC International Sdn. Bhd.

Tinjauan melibatkan 1,210 rakyat Malaysia itu juga mendapati, 70 peratus menentang penahanan di rumah bagi pesalah yang disabitkan dengan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram serta mahu golongan banduan ini dikecualikan daripada proses undang-undang sedemikian.

Kata Nik Saiful Adli, peruntukan Perlembagaan itu harus dihormati dalam konteksnya, bahawa permohonan pengampunan diraja tidak boleh dipengaruhi oleh pendapat majoriti rakyat, apatah lagi sebarang bentuk tinjauan awam.

Ujar beliau, menggunakan undian sebahagian kecil rakyat untuk menentukan keputusan mengenai pengampunan adalah tidak tepat dan mengelirukan, kerana ia secara langsung mencabar kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang telah diberikan oleh Perlembagaan.

Katanya, pengampunan diraja adalah perkara yang kompleks dan memerlukan pertimbangan yang lebih mendalam dan tidak boleh diselesaikan dengan undian mudah berdasarkan emosi atau persepsi sementara rakyat.

“Tinjauan yang hanya melibatkan hanya 1,210 orang sebagai sampel sangat tidak mencerminkan pandangan keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah puluhan juta.

“Dengan saiz sampel yang begitu kecil, sekitar kurang dari 0.004 peratus, tinjauan ini tidak dapat dianggap sebagai representasi yang sahih dan menyeluruh bagi pandangan rakyat Malaysia,” katanya.

“Bayangkan, jumlah rakyat Malaysia yang buta huruf adalah 4 peratus iaitu 1,000 kali ganda responden kajian ini, maka bolehkah disimpulkan rakyat Malaysia semuanya buta huruf?,” soal beliau.

Menurutnya, pengampunan diraja ialah suatu proses undang-undang, bukan seperti main kutu atau mahjong yang boleh undi suka-suka.

Kaedah itu, kata beliau, sangat terbatas dalam menjangkau pelbagai demografi rakyat, baik dari segi geografi, latar belakang sosial dan pendidikan.

“Ini menjadikan hasil tinjauan tersebut tidak adil, tidak seimbang dan berpotensi untuk memberi gambaran yang salah atau berat sebelah kepada masyarakat.

“Amat menyedihkan lagi, tinjauan seperti ini boleh mencipta persepsi negatif yang tidak wajar terhadap Datuk Seri Najib dengan memberikan gambaran majoriti rakyat Malaysia tidak menyokong pengampunan diraja tanpa memahami keputusan itu adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, bukan diambil berdasarkan populariti atau kehendak rakyat secara langsung.

“Saya melihat laporan sebegini juga berpotensi untuk menimbulkan fitnah yang memberi kesan kepada reputasi individu yang terlibat, tanpa menghormati proses undang-undang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan,” katanya.

Ujar Nik Saiful lagi, ia tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam hal pengampunan diraja yang diberikan melalui Perlembagaan dan lebih mengutamakan persepsi umum yang mungkin tidak berasas.

“Isu mengenai pengampunan adalah keputusan yang perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan yang mendalam, bukan berdasarkan kepada keputusan majoriti awam yang boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor sementara atau ketidakpastian sosial terutama dalam keadaan politik semasa yang tidak menentu,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *