Oleh: Ismail Daud
PASIR MAS – Sanggup pulang ke kampung di Kelantan kerana teruja berjumpa rakan sekelas ketika belajar bersama di sekolah suatu ketika dahulu.
Zainab Awang Hamat, 66 menetap di Sungai Buloh, Selangor ditemani suami, Zakaria Tobah, 74, pulang ke Kelantan semata-mata ingin berjumpa rakan lama di sebuah kedai nasi kerabu terkenal di sini kelmarin.
Kira-kira 20 rakan turut hadir meraikan kepulangan Zainab setelah lebih lima tahun tidak bersua.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang itu menyampaikan buah tangan berupa buah-buahan dan persalinan pakaian khas untuk rakannya.
Menurutnya, rakan yang hadir kali ini sentiasa bekerjasama serta saling memahami sejak di bangku sekolah lagi.
“Banyak kenangan pahit dan manis semasa belajar di sekolah dulu, tak mudah dilupakan.
“Walaupun berjauhan, hubungan tetap kukuh apabila masing-masing dapat berhubung melalui media sosial,” katanya.
Zainab berharap pertemuan lebih kerap dapat mengeratkan silaturahim selamanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001