KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedia bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri akan datang sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk terus bekerjasama.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu sejajar dengan prinsip gabungan tersebut yang menekankan keutamaan parti-parti tempatan dalam menerajui kerajaan negeri.
“GRS bersedia bertanding solo dan akan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan.
“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau turut menegaskan, pentadbiran negeri harus dipimpin oleh parti tempatan yang lebih memahami realiti dan budaya rakyat Sabah, walaupun kerjasama dengan parti nasional masih penting dalam kerangka lebih luas.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, GRS komited untuk memperkukuh kestabilan politik negeri kerana ia menyumbang kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Apa yang GRS perjuangkan ialah kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sabah.
“Seperti yang sering saya tekankan, Kerajaan Negeri hari ini perlu terus diperkukuhkan kerana ia membawa kestabilan dan mewakili satu bentuk kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju gabungan itu dan berbincang secara rasmi dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri sedia ada.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001