Pakistan guna jet pejuang buatan China tembak jatuh pesawat tentera India – Pegawai AS

ISLAMABAD/WASHINGTON – Sebuah jet pejuang buatan China yang digunakan oleh Pakistan telah menembak jatuh sekurang-kurang dua pesawat tentera India, Rabu lalu, kata dua pegawai Amerika Syarikat (AS) kepada Reuters.

Kejadian itu dilihat sebagai menandakan satu pencapaian penting bagi jet pejuang canggih keluaran Beijing.

Seorang jurucakap Tentera Udara India bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai laporan Reuters itu.

Keupayaan jet pejuang utama buatan China menentang pesaing dari Barat, sedang diperhatikan secara rapat di Washington untuk mendapatkan gambaran kemampuan Beijing sekiranya berlaku sebarang konflik di Taiwan atau rantau Indo-Pasifik yang lebih luas.

Seorang pegawai AS yang enggan dinamakan, berkata Pakistan amat diyakini menggunakan pesawat J-10 buatan China untuk melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara terhadap jet pejuang India yang mengakibatkan sekurang-kurang dua pesawat India berjaya ditembak jatuh.

Seorang lagi pegawai pula berkata, sekurang-kurang sebuah jet India yang ditembak jatuh adalah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis.

Kedua-dua pegawai itu berkata, pesawat F-16 milik Pakistan – buatan Lockheed Martin – tidak digunakan dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, India tidak mengaku kehilangan mana-mana pesawatnya, sebaliknya mendakwa bahawa ia berjaya menyerang infrastruktur musuh di Pakistan.

Di Perancis, pengeluar pesawat Rafale, Dassault Aviation dan konsortium MBDA yang menghasilkan peluru berpandu udara-ke-udara Meteor, bagaimanapun tidak dapat dihubungi setakat ini berikutan cuti umum.

Rabu lalu, Reuters yang memetik pegawai kerajaan tempatan di India, melaporkan tiga pesawat negara itu telah ditembak jatuh.

Ia adalah pengesahan pertama oleh Barat bahawa jet buatan China yang dimiliki Pakistan telah digunakan dalam insiden itu.

Semalam, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, memberitahu Reuters bahawa jet pejuang J-10 telah digunakan untuk menembak jatuh tiga pesawat Rafale buatan Perancis yang baru diperoleh India.

Secara keseluruhan, Pakistan mendakwa bahawa pihaknya telah menembak jatuh lima pesawat India dalam pertempuran udara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *