Pakar penerbangan cetus teori apa berlaku kepada MH370

LONDON – Seorang pakar dan jurutera penerbangan mendakwa mengetahui apa yang berlaku kepada pesawat Malaysia Airlines MH370 yang tidak dapat dikesan sehingga kini, menyifatkan ia sebagai “jenayah sempurna yang menyebabkan pesawat malang itu terhempas di beberapa lokasi yang sangat terhad.

Portal berita, The Mirror melaporkan, Ketua Jurutera Egyptair, Ismail Hammad, yakin beliau mempunyai kunci penyelesaian yang menjimatkan wang dan masa bagi pencarian pesawat itu yang mendatangkan kesukaran kepada pihak berkuasa dan keluarga mangsa.

Ismail mendakwa, jawapan kepada misteri kehilangan MH370 adalah mudah.

Daripada semua teori yang ada, beliau yakin seorang ‘perampas’ adalah dalang di sebalik kehilangan MH370 dan teka-teki sebenar adalah lokasi nahas selepas rancangan itu tidak berjalan seperti yang dirancang.

“Jika perampas itu mahu melakukan jenayah sempurna yang akan kekal menjadi misteri selama 100 tahun, dia perlu mendaratkan pesawat itu di salah satu landasan udara yang terbengkalai atau tasik dalam kepulauan Filipina yang berliku, terdiri daripada 7,641 pulau.

“Landasan udara seperti itu terletak berhampiran laut, tasik atau paya dan bukannya terbang secara lurus hingga jatuh ke perairan di luar bandar Perth, di kawasan yang boleh dijangka melalui pengiraan kadar penggunaan bahan api,” dakwa beliau.

Bagaimanapun, beliau percaya kekurangan pengalaman perampas itu juga menunjukkan di mana pesawat itu mungkin terhempas.

“Apa juga pengalaman juruterbang, dia tidak akan dapat terbang secara mudah dan tepat dalam garis lurus dalam tempoh yang lama, di atas kawasan laut terbuka, pada waktu malam,” katanya.

Ismail turut menyatakan mengenai cabaran navigasi dari pantai Malaysia hingga ke kawasan selatan Lautan Hindi dan menjangkakan pesawat itu mungkin terhempas berhampiran Perth.

“Sama ada juruterbang itu hanya menggunakan kompas atau mempunyai sistem GPS, mereka mungkin boleh menavigasi merentasi kepulauan Filipina jika mereka cukup arif dengan kawasan itu dan cahaya bandar-bandar di situ,” katanya.

Ismail juga berkata, memprogram komputer pemanduan sendiri (autopilot) hanya dengan koordinat spatial adalah tugas yang rumit.

“Selain itu, seorang juruterbang saja tidak akan mampu terus mengendalikan pesawat sebesar B777-200 selama sembilan jam sejak berlepas sehingga hilang, termasuk tiga jam secara purata yang diperlukan untuk memeriksa keadaan pesawat dan dokumentasinya sebelum berlepas seperti yang ditetapkan dalam peraturan penerbangan,” katanya.

Katanya, tanpa bantuan sistem pemanduan sendiri atau navigasi jika hanya bergantung kepada kompas magnetik pesawat, pencarian harus tertumpu dari Selat Melaka ke pantai Perth, mengambil kira “semua tekanan itu.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac 2014 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Ia adalah salah satu misteri paling membingungkan dalam sejarah penerbangan dan kekal sebagai insiden paling dahsyat yang membabitkan kehilangan pesawat.

Awal bulan ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan, pencarian MH370 oleh Ocean Infinity dihentikan dan akan disambung semula pada hujung tahun ini.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana musim semasa tidak sesuai untuk pencarian pesawat itu. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *