Nancy pertahan kenyataan Ketua Polis Kelantan, data berdasarkan siasatan… bukan andaian

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mempertahankan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung pengeluaran data kes jenayah seksual dan narkotik di Kelantan.

Malah kata beliau, data yang dikeluarkan polis adalah berdasarkan siasatan yang dilakukan, lapor Astro Awani.

Justeru Nancy menegaskan, adalah tidak adil untuk menuduh polis mempunyai agenda tertentu dengan cuba memberi gambaran negatif terhadap Kelantan sedangkan mereka hanya menjalankan tugas.

“Beginilah… kalau hendakkan bukti, minta polis kemukakan berapa jumlah daftar sebenar kes. Kami sendiri pun, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, akan memohon data rasmi daripada pihak polis.

“Apa yang kami keluarkan adalah berdasarkan kepada data kes yang disiasat. Manakala kes yang belum disiasat, tidak akan dimasukkan dalam data kami.

“Jadi, untuk ADUN ini… kadang-kala kita tidak tahu tentang urusan harian. Sebab itu penting untuk mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak polis. Mereka menjalankan tugas, maka kerjasamalah dengan mereka untuk mengetahui keadaan sebenar,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohaimi Wan Daud semasa sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selasa lalu menegur Ketua Polis Kelantan berhubung beberapa kenyataan yang dikeluarkan secara berturut-turut oleh pihak polis negeri itu.

Menurut wakil rakyat Pas itu, kenyataan tersebut seolah-olah disengajakan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Kelantan sebagai sebuah negeri yang tidak selamat untuk didiami.

Malah, beliau turut mendakwa pendekatan itu mungkin ada kaitan dengan kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *