34 maut serangan peluru berpandu Russia di Ukraine, mayat berselerakan

KYIV – Serangan paling berdarah Russia terhadap Ukraine tahun ini menyaksikan 34 mangsa maut dan 117 cedera selepas dua peluru berpandu balistik menghentam pusat bandar Sumy di utara Ukraine.

Sehubungan itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menuntut tindak balas tegas antarabangsa terhadap Moscow ke atas serangan ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berusaha menamatkan perang yang sukar mencapai kemajuan.

Menerusi video yang disiarkan Zelenskiy di media sosial, kelihatan mayat-mayat tergelimpangan di tengah jalan di bandar itu, di samping beberapa bas dan kereta yang musnah terbakar.

Pemimpin Britain, Jerman dan Itali turut mengecam serangan itu.

“Tragedi ini menunjukkan betapa ‘berharganya’ kesediaan Russia untuk berdamai,” tulis Canselor Jerman, Olaf Scholz di media sosial.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada mangsa dan menyifatkan serangan itu sebagai ‘peringatan tragis kenapa Trump dan pentadbirannya berusaha keras menamatkan perang di wilayah itu’.

Zelenskiy dalam satu temu bual bersama program ’60 Minutes’ CBS News yang disiarkan semalam, menggesa Trump melawat Ukraine.

“Tolong datang dan lihat sendiri, rakyat, orang awam, tentera, hospital, gereja, kanak-kanak menjadi korban dan musnah,” katanya dalam satu klip video yang dikongsikan oleh program itu di media sosial.

Dalam temu bual yang diadakan pada Jumaat lalu, Zelenskiy turut ditanya sama ada AS benar-benar menyokong Ukraine.

Selepas terdiam seketika, Zelenskiy kemudian menjawab, AS adalah rakan strategik kuat Ukraine.

“Tapi sejujurnya, ketiadaan tindakan (Trump berdiam diri) menimbulkan keraguan.

“Namun saya tidak ragu-ragu dengan rakyat AS yang pastinya bersama kami, tetapi dalam perang yang panjang, banyak perkara kecil sering dilupakan,” katanya.

Beliau turut merayu AS menghantar pasukan sebagai sebahagian daripada usaha pengaman antarabangsa dan secara khusus meminta bantuan pesawat daripada Washington untuk melindungi ruang udara Ukraine.

Di bawah pentadbiran Trump, pegawai AS mengadakan beberapa pusingan rundingan berasingan dengan pegawai Kremlin dan Kyiv bagi mencari jalan ke arah menghentikan permusuhan di Ukraine.

Bagaimanapun setakat ini, pihak berkuasa Russia belum memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan komen daripada Reuters.

Russia sebelum ini menafikan pihaknya menyasarkan orang awam, namun ribuan penduduk terbunuh dan cedera akibat pencerobohan mereka di Ukraine.

Sementara itu, pemangku Datuk Bandar Sumy, Artem Kobzar, mengumumkan tiga hari berkabung bagi menghormati mangsa, bermula hari ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri Ukraine, Ihor Klymenko, berkata orang ramai yang menjadi mangsa serangan semalam berada di jalanan, di dalam kereta, pengangkutan awam dan bangunan ketika peluru berpandu meledak.

“Pembunuhan sengaja dilakukan terhadap orang awam pada hari upacara keagamaan penting diadakan di gereja,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kakitangan Pejabat Zelenskiy, Andriy Yermak, berkata peluru berpandu itu mengandungi bom berangkai yang berpotensi tinggi membunuh atau mengakibatkan kecacatan teruk pada mangsa.

“Russia melakukan ini untuk membunuh seramai mungkin orang awam,” katanya. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *