KUALA LUMPUR – Jangan sesekali meletakkan kesalahan di bahu pelajar atau guru sekiranya berlaku kes buli di asrama atau sekolah, tegas Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebaliknya, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu menegaskan, ibu bapa dan masalah di rumah juga boleh menjadi faktor utama kepada perilaku buli.
“Jangan hanya salahkan pelajar atau guru, ibu bapa dan masalah di rumah juga antara faktor utama membiaknya perilaku buli hingga terbawa-bawa ke asrama dan sekolah,” kata beliau dalam hantaran di Facebook, pada Rabu.
Hantaran dikongsi Asyraf Wajdi itu mendapat maklum balas daripada pengguna media sosial yang bersetuju dengan pandangan beliau mengenai isu buli di pusat pengajian yang sentiasa tercetus dari semasa ke semasa.
Pada Selasa, Jawatankuasa disiplin Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengesyorkan tujuh pelajar MRSM di Pulau Pinang yang terlibat kes buli ditamatkan pengajian daripada maktab itu.
Menurut Asyraf, pentadbiran MARA juga tidak akan melayan rayuan pelaku insiden itu, jika mereka berbuat demikian.
“Tidak kira anak sesiapa sekalipun Tan Sri, Datuk, hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil. Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu,” kata Asyraf dalam nada tegas.
Secara peribadi, Asyraf tidak bersetuju mereka diberikan peluang kedua, kerana sejak awal dilantik sebagai Pengerusi MARA, beliau berulang kali mengingatkan prinsip #YouTouchYouGo untuk tidak berkompromi dengan apa juga bentuk budaya buli di institusi pendidikan MARA termasuk MRSM.
Sebelum ini, polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat tular di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Jay January Siowou berkata, polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden itu dan mengesan institusi serta kesemua individu terlibat bagi mendapatkan keterangan.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001