Operasi pencarian budak 4 tahun autisme hilang ditutup

PETALING JAYA – Operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak autistik, Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri yang hilang sejak tiga hari lalu ditutup hari ini selepas tiada petunjuk ditemui sepanjang pencarian.

Ketua Polis Baling, Azmi Mokhtar berkata, pos kawalan polis dan bomba di lokasi ditutup hari ini sebab pencarian makin jauh, namun anggota itu akan melakukan rondaan di sekitar kawasan setiap hari, katanya lapor Harian Metro.

Katanya, bilik kawalan polis dan Jabatan Bomba tetap beroperasi untuk menerima sebarang maklumat berkaitan kehilangan kanak-kanak empat tahun itu.

Azmi berkata, pencarian hari ini turut membabitkan aktiviti selaman oleh anggota penyelamat hingga ke Jambatan Kuala Pegang dan disambung lagi pada sebelah petang di kawasan sama.

“Radius pencarian hari ini tujuh hingga lapan kilometer di kawasan sungai tetapi tidak menemui sebarang bukti berkaitan mangsa.

“Kita tidak tahu sama ada mangsa jatuh dalam sungai atau hilang dalam hutan, namun pencarian terus dilakukan di kawasan yang disyaki,” katanya.

Ketua Balai Bomba Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, operasi hari ini dilakukan menggunakan bot di sekitar kawasan Sungai Kupang dan menggunakan khidmat anjing pengesan K9, namun tidak menemui sebarang tanda.

Katanya, operasi ditutup pada 6.30 petang.

Fayyad Affan dilaporkan hilang pada Jumaat selepas keluar dari rumahnya di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran Kampung Landak Paya, Baling.

Kanak-kanak itu yang mempunyai masalah lembam, kelewatan bercakap, dan autisme turut dikhuatiri pergi ke tepi sungai, yang jaraknya 50m dari rumahnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *