Himpunan wayang kulit Asia Tenggara

Himpunan wayang kulit Asia Tenggara

Laporan Ercy Gracella Ajos @Berita Harian

KUALA LUMPUR – Wayang kulit sebagai sebahagian teater tradisional sangat dikenali bukan saja di Malaysia, tetapi juga Indonesia dan Thailand.

Di negara ini, wayang kulit dipercayai dibawa masuk dari Pulau Jawa. Ia wujud sejak abad kesembilan sebelum masihi selari dengan perkembangan pengaruh Hindu-Buddha ketika itu. Meskipun hari ini wayang kulit dilihat sebagai seni teater yang umumnya bertujuan untuk hiburan, ia sebenarnya bermula sebagai persembahan sarat mitologi dan kepercayaan.

Sejarah perkembangan wayang kulit di Malaysia berkembang di negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, dan ia menjadi bahagian penting dalam budaya serta seni tradisional masyarakat Melayu.

Dalam usaha memelihara dan memperkenalkan warisan budaya ini kepada umum terutamanya generasi muda, Muzium Seni Asia (MSA) Universiti Malaya (UM) mengadakan pameran ‘A Life In Shadows: The Story of Wayang Kulit’ yang berlangsung mulai 13 Februari lalu hingga 30 April depan bertujuan memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai keunikan wayang kulit di rantau ini.

Kurator MSA, Zahirah Noor Zainol Abidin, berkata pameran itu dijayakan dengan pendekatan lebih luas dan interaktif menggunakan koleksi muzium berkenaan selain dipinjam daripada rakan kolaborasi dari beberapa negara Asia Tenggara.

“Daripada himpunan muzium sedia ada, kami mempamerkan 20 koleksi Tok Dalang Dollah Baju Merah milik MSA.

“Ia adalah yang pertama dan bermakna buat kami kerana bertepatan dengan ulang tahun ke-20 pemergian seniman itu.

” Dollah Baju Merah adalah antara dalang terakhir di Kelantan yang menghidupkan tradisi formal wayang kulit dalam bentuk paling tulen,” katanya.

Zahirah berkata, kerjasama dengan rakan dari negara ASEAN lain membolehkan beberapa koleksi wayang kulit lain turut dipamerkan antaranya ‘nang yai’ dan ‘nang talung’ dari Thailand; ‘nang sbek thom’ dari Kemboja yang dipersembahkan oleh dalang berdiri, serta wayang kulit ‘purwa’ dari Jawa Tengah.

Selain koleksi berkenaan, pameran itu turut mempamerkan himpunan wayang kulit dari Muzium Wat Phlaplachai Nang Yai, Thailand dan Wayang Nang Talung daripada koleksi peribadi dalang tersohor Thailand, Khun Fluk.

Turut dipamerkan adalah wayang Sbek Thom dari kumpulan Ty Chien, Kemboja; Wayang Beber, Wayang Klithik, dan Wayang Kulit Purwa dari Muzium Wayang Kekayon, Yogyakarta serta koleksi khas Fusion Wayang Kulit.

Justeru katanya, ia bukan sekadar pameran tetapi meneroka kepelbagaian bentuk, tradisi naratif, dan simbolisme seni wayang kulit.

“Setiap himpunan dari pelbagai negara ASEAN ini menawarkan keunikan dan perbezaan berdasarkan sejarah, budaya, dan pengaruh tempatan.

“Walaupun asal-usul seni pertunjukan ini berasal daripada budaya sama, ia berkembang dengan cara yang berbeza di setiap negara,” katanya.

Dalam pada itu, Zahirah berkata, penganjuran pameran kali ini mendapat kerjasama daripada jurufoto asal Australia, Constantine Korsovitis, yang turut berkongsi mengenai pengalamannya mengembara ke merata negara di rantau ini untuk mendokumentasikan teater wayang dalam pelbagai bentuk.

Korsovitis yang ketika ditemui di MSA berkata, warisan budaya mampu berfungsi sebagai jambatan dalam menghubungkan masyarakat serantau.

Katanya, apa saja nilai yang ada dalam seni warisan budaya ini, mampu menjadi wadah perhubungan sesama ahli masyarakat kerana menerusinya berlaku perkongsian selain sudah pasti ia mempunyai perhubungan sejarah dan terkait antara satu dan lain.

Kongsinya lagi, ketika menghasilkan dokumentari teater wayang kulit, dia menyedari bahawa setiap negara di Asia Tenggara mempunyai elemen dan faktor yang sama iaitu dalam penggunaan Ramayana dan Mahabharata.

“Ramayana merujuk pada salah satu cerita epik besar yang sangat terkenal, berasal dari India dan ia kemudiannya diadaptasi ke dalam budaya Indonesia, terutama dalam pertunjukan wayang kulit, iaitu seni tradisional yang menggunakan tokoh-tokoh daripada cerita Ramayana.

“Hal yang mendorong saya untuk melakukan dokumentasi teater wayang kulit ini sebab ketika melihat pertunjukan di setiap negara, seni persembahan ini bukan setakat hiburan semata tetapi terdapat juga elemen kerohanian,” katanya.

Wayang kulit sebagai warisan tradisi di Asia Tenggara sudah pun diiktiraf sebagai warisan budaya tidak ketara, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2003.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *