Samaiden meterai PPA 21 Tahun dengan TNB untuk Projek Solar Berskala Besar 99.99 MWac

PETALING JAYA – Samaiden Group Berhad (Samaiden), pakar tenaga boleh diperbaharui yang terutama terlibat dalam pembangunan dan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, dan pentauliahan sistem TBB dan loji kuasa, memeterai Perjanjian Pembelian Kuasa (“PPA”) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tempoh 21 tahun.

Perjanjian itu dimeterai oleh anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Samaiden Legasi Timur Sdn. Bhd. (SLTSB), merangkumi penjualan dan pembelian elektrik yang dijana daripada kemudahan penjanaan tenaga solar photovoltaic (PV) Samaiden di bawah pusingan kelima program Solar Berskala Besar Malaysia (LSS5) Malaysia.

Di bawah perjanjian itu, TNB akan membeli keluaran tenaga bersih daripada kemudahan itu sehingga Kuantiti Maksimum Tahunan Dibenarkan (MAAQ) sebanyak 257,988.14 MWj dalam tempoh 21 tahun dari Tarikh Operasi Komersial (COD) yang dijadualkan pada 11 Oktober 2027.

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Ir. Chow Pui Hee berkata, perjanjian PPA dengan TNB itu merupakan satu pencapaian penting bagi Samaiden dan bukti komitmen syarikat untuk mempercepatkan peralihan Malaysia kepada tenaga boleh diperbaharui.

“Projek ini bukan sahaja merupakan pengembangan yang ketara dalam portfolio kami tetapi juga aliran hasil jangka panjang yang akan menyokong kemampanan kewangan kami.

“Dengan matlamat kerajaan yang bercita-cita tinggi untuk mencapai 70% tenaga boleh diperbaharui kami berhasrat mencapai visi ini dengan membangunkan salah satu projek solar terbesar di bawah program LSS5,” katanya.

Mengulas lanjut Pui Hee berkata, PPA itu mengawal kewajipan kedua-dua pihak untuk pembinaan, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan kemudahan PV solar 99.99 MWac di Pasir Mas, Kelantan.

Beliau menambah Perjanjian PPA dijangka tidak akan memberi sebarang kesan material serta-merta ke atas aset bersih dan pendapatan Samaiden dan kumpulan syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.

Bagaimanapun, kemudahan solar itu diunjurkan menjana pendapatan positif bagi Kumpulan sepanjang jangka hayat operasinya selama 21 tahun, mengukuhkan asas pendapatan jangka panjangnya.

Kumpulan terus komited untuk mengembangkan jejaknya dalam projek solar berskala besar dan meningkatkan keupayaannya untuk menyokong peralihan Malaysia ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *