BORICCC tarik peserta dari luar negara mengenali seni persembahan boria

12/03/2025

KUALA LUMPUR – Kelas dan Pertandingan Persidangan Antarabangsa Boria atau Boria International Conference Class & Competition (BorICCC) yang berlangsung selama lima hari dari 18 hingga 22 Februari lalu menjaya mencungkil bakat kesenian itu di peringkat antarabangsa.

Program anjuran Arena Pinang Sdn. Bhd. bersama rakan kerjasamanya, Kolej Kediaman Kesembilan Tun Syed Zahiruddin dan Universiti Malaya turut menyaksikan penyertaan peserta dari Jerman, China, Afrika Selatan, Jepun dan India, selain peserta iaitu pelajar tempatan.

Menurut Penasihat dan Pengarah Program, Razali Hussain, BorICCC yang dijana oleh Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan serta turut mendapat sokongan ArtsFAS (Arts For All Seasons) itu terbahagi kepada tiga acara.

Katanya, acara pertama iaitu Bengkel Kelas Boria, diadakan selama tiga hari dari 18 hingga 20 Februari lalu, yang disertai peserta yang juga pelajar luar negara iaitu Germany, China, South Africa, Jepun dan India selain dari pesert pelajar tempatan.

Acara kedua, kata beliau, ialah Boria Conference yang diadakan pada 22 Februari lalu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Dewan Perdana 2 KPS Universiti Malaya (UM) dengan panel jemputan adalah Omar Hashim (Omara) dan Yusof Hashim.

Menurut beliau, acara ketiga pula Pertandingan Boria yang diadakan juga pada 22 Februari yang menyaksikan 10 kumpulan bertanding.

“Kumpulan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu masing-masing lima kumpulan bagi kategori sekolah dan terbuka.

“Pertandingan ini diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa (KPS) Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan menyaksikan penyertaan dari empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

“Sebanyak 10 kumpulan ini telah bersaing bagi merebut kejuaraan dan hadiah yang disediakan berjumlah kira-kira RM23,000,” katanya kepada NasionalDaily di sini, hari ini.

Berikut keputusan pertandingan boria bagi peringkat sekolah dan terbuka:- 

Juara bagi kategori sekolah dimenangi pasukan Boria Anumsari dari Melaka, yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 berserta sijil dan trofi.

Tempat kedua disandang pasukan Boria Putera Wawasan dari Pulau Pinang, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta sijil dan trofi.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Boria Sixteen Crew dari Selangor dengan mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 berserta sijil dan trofi.

Pasukan Boria Madnorians dari Pulau Pinang dan pasukan Boria Senada Niners dari Selangor masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil dan piala.

Menurut Razali, bagi kategori khas sekolah untuk busana terbaik dimenangi pasukan Boria Sixteen Crew dari Selangor. Mereka menerima hadiah RM100 dan sijil, manakala lirik karangan terbaik dimenangi pasukan Boria Anumsari dari Melaka, dengan hadiah RM100 dan sijil.

Kategori sailor terbaik dan sketsa terbaik turut digondol pasukan Boria Anumsari dengan hadiah masing-masing RM100 dan sijil serta tukang karang terbaik dimenangi pasukan Boria Putera Wawasan dari Pulau Pinang, juga membawa pulang RM100 dan sijil.

Bagi kategori terbuka, pasukan Boria Seri Melaka (Melaka) muncul juara dengan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM4,000, sijil dan trofi, diikuti pasukan Permata Seni Tari (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) sekadar naib juara dengan hadiah RM3,000, sijil dan trofi.

Pasukan Boria Kona juga dari Kuala Lumpur berpuas hati dengan tempat ketiga, membawa pulang wang tunai RM2,000, sijil dan trofi, manakala pasukan Boria Sri Sembilan (Kuala Lumpur) dan pasukan Boria SMK Kampung Jawa dari Selangor masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima dengan hadiah wang tunai RM1,000, sijil dan piala.

Manakala dalam kategori khas terbuka, busana terbaik dimenangi pasukan Permata Seni Tari (Kuala Lumpur) dengan hadiah RM100 dan sijil, diikuti lirik karangan terbaik oleh pasukan Boria Seri Melaka (Melaka) RM100 dan sijil; sailor terbaik oleh pasukan Boria Seri Melaka (Melaka) RM100 dan sijil.

Sketsa terbaik pula dimenangi pasukan Boria Seri Melaka (Melaka) RM100 dan sijil, serta tukang karang terbaik oleh pasukan Boria Kona (Kuala Lumpur) RM100 dan sijil.

Menurut Razali lagi, juri pertandingan ialah Omara Omar Hashim, Yusof Hashim dan Mohamad Rashid Abd. Rahim.

Tetamu kehormat yang hadir ialah Ahli Lembaga Penasihat Program ArtFAS, Tan Sri Norliza Rofli; Senior Executive Grant Yayasan Hasanah, Mukhlis Mohd Yusoff; dan Pengetua Kolej Kediaman Kesembilan Tun Syed Zahiruddin, DSP/KS Mohd Hairol Nezam Kahmis.

“Penganjuran ini tidak akan terlaksana tanpa sokongan dari ArtsFAS-Seni Sepanjang Musim dengan dokongan Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan yang memberi peluang kepada Arena Pinang Sdn. Bhd. untuk menganjurkan acara ini.

“Terima kasih kepada Yayasan Hasanah yang masih menaruh kepercayaan untuk kami terus memartabatkan seni warisan budaya boria ini,” kata Razali.

Katanya lagi, BorICCC adalah platform yang memperkenalkan seni persembahan boria bukan sahaja kepada penuntut universiti, pelajar sekolah dan umum, malah juga memberi pendedahan kepada pelajar luar negara untuk lebih mengenali seni warisan budaya yang unik ini. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *