07/03/2025:
GAZA CITY – Hamas menegaskan tetap komited terhadap tindakan gencatan senjata dengan Israel, walaupun selepas berdepan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Trump sebelum ini memberi amaran kepada penduduk Gaza bahawa mereka akan mati jika tebusan yang ditahan di wilayah itu tidak dibebaskan.
Jurucakap Briged Ezzedine al-Qassam, Abu Obaida, berkata mereka memilih untuk mematuhi perjanjian terbabit bagi mengelakkan pertumpahan darah rakyat.
“Walaupun musuh cuba mengelak, berbohong dan menipu… kami memilih dan masih memilih untuk mematuhi perjanjian ini,” katanya melalui kenyataan.
Sementara itu, jurucakap Hamas, Hazem Qasim, berkata kenyataan Trump mendorong Israel untuk tidak mematuhi terma gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Januari, selepas lebih 15 bulan peperangan.
“Ancaman ini merumitkan keadaan berkaitan perjanjian gencatan senjata dan menggalakkan penjajah untuk mengelak daripada melaksanakannya,” katanya.
Beliau turut menggesa AS menekan Israel supaya memasuki fasa kedua gencatan senjata yang dijangka membawa kepada titik damai berkekalan.
Fasa pertama gencatan senjata selama enam minggu itu tamat hujung minggu lalu, dan rundingan mengenai masa depan perjanjian itu kini menemui jalan buntu.
Menurut Hamas, ancaman Trump hanya akan menyebabkan Israel mengabaikan perjanjian terbabit, yang sebahagian besarnya menghentikan lebih setahun perang di Gaza antara Israel dan pejuang Palestin itu.
Sebelum ini, Trump mencadangkan satu pelan kontroversi untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza, yang mendapat kecaman meluas.
Pemimpin Arab yang bertemu di Kaherah minggu ini sebaliknya menyokong satu alternatif.
Semalam, wakil AS memuji Mesir kerana mengemukakan pelan baharu itu tetapi tidak mengesahkan butiran cadangan alternatif terbabit.
Amaran Trump dibuat selepas pentadbirannya mendedahkan bahawa mereka mengadakan rundingan langsung yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan Hamas, memfokuskan kepada tebusan warga Amerika di Gaza.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengesahkan bahawa Israel dirujuk dalam rundingan itu dan menyatakan Zionis turut menyuarakan pendapatnya mengenai perbincangan terbabit.
Rabu lalu, Trump mengeluarkan amaran terakhir kepada pemimpin Hamas, menggesa kumpulan itu supaya segera membebaskan semua tebusan mengancam segalanya akan berakhir bagi mereka.
Israel sebelum ini membunuh ketua Hamas, Yahya Sinwar, serta pemimpin ketenteraan kumpulan itu, Mohammed Deif, sepanjang perang di Gaza yang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Trump turut memberi amaran mengenai kesan yang bakal dihadapi Gaza secara keseluruhan, yang mana hampir seluruh populasinya dipindahkan akibat serangan Israel.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001