28/02/2025:
KUALA LUMPUR – MSB Global Group Berhad (MSB Global), peneraju dalam industri alat ganti automotif pasaran selepas Malaysia, memeterai perjanjian taja jamin untuk menerbitkan 133 juta saham baharu sebagai persediaan untuk Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Taja jamin dimeterai dengan M& A Securities Sdn Bhd (M & A Securities) melibatkan terbitan 133 juta saham baharu, mewakili 21.80 peratus daripada modal saham terbitan Kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 610.m juta saham, di samping tawaran jualan sebanyak 74 juta saham sedia ada 12.13 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
MSB Global ialah pengedar eksklusif alat ganti dan komponenautomotif berjenama GSP di Malaysia, di mana ia membekalkan pelbagai jenis alat ganti dan komponen automotif selepas pasaran berkualiti tinggi, termasuk aci pemacu, pemasangan hab roda, bahagian suspensi, rak stereng dan banyak lagi, memastikan pelanggan menerima penyelesaian yang tahan lama dan boleh dipercayai.
Pada masa sama, Kumpulan telah mengukuhkan kehadirannya dalam segmen pelincir dan cecair automotif melalui jenama dalaman, FK Fukuoka dan ZR-Zuric, yang merangkumi minyak enjin, bendalir transmisi automotif, minyak gear, bendalir brek dan cecair automotif yang lain.
Pengarah Urusan MSB Global, Datuk Ow Kee Foo berkata, perjanjian taja jamin ini merupakan satu peristiwa penting ke arah penyenaraian syarikat.
“Kami menghargai dedikasi dan sokongan M&A sepanjang proses ini. IPO ini akan membolehkan kami mengembangkan operasi dan meningkatkan keupayaan dengan penubuhan kilang campuran pelincir automotif.
“Peluasan daripada perniagaan perdagangan kepada pembuatan ini akan meningkatkan imej jenama kami dan mengukuhkan daya saing pasaran. Selain itu, kilang pembuatan akan menawarkan fleksibiliti yang lebih besar untuk penyesuaian dan inovasi produk,” katanya.
Terbitan saham baharu itu merangkumi terbitan awam sebanyak 30.50 juta saham atau lima peratus daripada modal saham terbitan Kumpulan yang diperbesarkan, dengan 2.50 peratus disediakan kepada pelabur awam dan baki 2.50 peratus disediakan kepada pelabur awam Bumiputera.
Mankala 6.10 juta saham atau satu peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan akan diperuntukkan kepada pengarah yang layak, pengurusan kanan utama dan pekerja melalui Peruntukan Borang Merah Jambu.
Sebanyak 76.25 juta saham atau 12.50 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Malaysia (MITI), selain 20.15 juta saham atau 3.30 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Peruntukkan 74 juta saham atau 12.13 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
M & A Securities akan menajajamin 36.60 juta saham, terdiri daripada yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan orang yang layak melalui peruntukan Borang Merah Jambu. Baki 170.40 juta saham akan diletakkan kepada pelabur terpilih. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001