Kapal angkasa Russia menuju ISS bersama kargo, peralatan eksperimen saintifik

Kapal angkasa Russia menuju ISS bersama kargo, peralatan eksperimen saintifik

28/02/2025:

MOSCOW – Roket Soyuz-2.1a milik Russia berjaya membawa kapal angkasa kargo Progress MS-30 ke orbit, menurut siaran langsung oleh syarikat angkasa lepas milik kerajaan negara itu, Roscosmos.

Agensi Berita Rusia (TASS) melaporkan bahawa kapal angkasa itu dijangka tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dalam tempoh kira-kira 50 jam, dengan proses berlabuh ke modul Zvezda dijadualkan pada 2.04 pagi waktu Moscow pada Ahad (11.04 malam Sabtu GMT).

Roket itu dilancarkan dari Pusat Angkasa Baikonur di Kazakhstan pada jam 12.24 tengah malam Jumaat (9.24 malam Khamis GMT).

Ia adalah pelancaran pertama kapal angkasa Progress dan pelancaran pertama dari Baikonur pada 2025.

Kapal angkasa itu akan menghantar 2,599 kilogram (kg) kargo ke ISS termasuk 1,179 kilogram peralatan, bekalan untuk eksperimen saintifik, pakaian, makanan, set perubatan dan kit kebersihan untuk kru, 950 kg bahan bakar, 420 kg air minuman dan 50 kg nitrogen.

Kargo itu juga turut merangkumi sut angkasa baharu Orlan-ISS No. 6 untuk aktiviti perjalanan angkasa (spacewalk) di bawah program Russia.

Buat masa ini, angkasawan Russia menggunakan sut angkasa Orlan-ISS No. 4 dan Orlan-ISS No. 5 untuk aktiviti di luar stesen angkasa.

Kapal angkasa itu juga membawa bekalan untuk eksperimen Aseptic, Biodegradation, Virtual, Cascade, Lasma, Mirage, Neuroimmunity, dan Photobioreactor di atas stesen. – BERNAMA-TASS

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *