27/02/2025:
SHAH ALAM – Leon Fuat Berhad (Leon Fuat), pengeluar dan peniaga produk keluli yang mengkhusus dalam keluli bergulung panjang dan rata, telah merekodkan hasil sebanyak RM246.04 juta bagi suku keempat 2024, kekal agak konsisten dengan peningkatan 2.3 peratus daripada RM240.57 juta pada suku sama tahun lalu.
Walaupun hasil meningkat, keuntungan kasar merosot sebanyak 37.3 peratus kepada RM14.59 juta, turun daripada RM23.26 juta pada suku keempat 2023 terutama disebabkan oleh margin untung kasar yang lebih rendah sebanyak 7.7 peratus berbanding 10.7 peratus pada suku yang sama sebelumnya, di samping inventori lebih tinggi yang diturunkan nilai sebanyak RM4.32 juta.
Kumpulan melaporkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM5.31 juta bagi suku tersebut, berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM6.81 juta pada suku keempat 2023.
Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh keuntungan kasar yang lebih rendah ditambah dengan kos operasi lebih tinggi, meningkat sebanyak RM3.31 juta daripada suku keempat 2023, disebabkan oleh perbelanjaan berkaitan kakitangan yang lebih tinggi, peningkatan pelaburan dalam sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) dan tambahan bersih kerugian kemerosotan nilai pada instrumen kewangan.
Tambahan pula, kos kewangan meningkat sebanyak RM0.47 juta, mencerminkan penggunaan kemudahan kredit yang lebih tinggi.
Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Calvin Ooi Shang How berkata, tahun kewangan
2024 telah menjadi tahun yang ditandai dengan ketidaktentuan ekonomi, penstrukturan semula kos dan turun naik harga.
“Bagaimanapun, keupayaan kami untuk mengekalkan pertumbuhan hasil dalam segmen pemprosesan mencerminkan kekuatan perniagaan dan komitmen terhadap kecekapan operasi,” katanya.
Beliau berkata, memasuki TK2025, syarikat kekal optimistik dengan berhati-hati disokong oleh unjuran pemulihan ekonomi Malaysia dan keadaan perdagangan global yang bertambah baik.
“Dengan usaha berterusan dalam pengoptimuman kos, pengurusan inventori dan inisiatif perniagaan strategik, kami meletakkan kedudukan untuk menstabil dan meningkatkan keuntungan pada tahun akan datang,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001