26/02/2025:
KUALA LUMPUR – KJTS Group Berhad (KJTS) penyedia terkemuka penyelesaian pengurusan tenaga penyejuk mengumumkan keputusan kewangan yang belum diaudit bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (S4 TK2024) sebanyak RM39.03 juta, naik 24% berbanding RM31.50 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas (S4 TK2023).
Keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM3.90 juta pada S4 TK2024, peningkatan 72% daripada RM2.27 juta pada S4 TK2023.
Manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat sebanyak 110% kepada RM3.88 juta daripada RM1.85 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Keuntungan yang lebih tinggi didorong terutama oleh peningkatan keuntungan kasar, terutama daripada segmen Tenaga Penyejuk, yang menghasilkan margin yang lebih kukuh.
Pengurusan KJTS berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran terbesar, menyumbang RM26.45 juta atau 67.77% daripada jumlah hasil pada S4 TK2024, manakala Singapura menjana RM7.09 juta atau18.17% daripada jumlah hasil pada S4 TK2024, meningkat daripada RM6.42 juta berbanding S4 TK2023.
“Thailand menyaksikan lonjakan kukuh kepada RM5.49 juta atau 14.06% daripada jumlah hasil pada S4 TK2024, peningkatan ketara daripada RM0.65 juta berbanding S4 TK2023,” katanya.
Memandang ke hadapan, KJTS berada pada kedudukan yang baik untuk menavigasi landskap ekonomi yang sedang berkembang dengan pengembangan strategik dan kepakarannya dalam penyelesaian penyejukan yang cekap tenaga.
Pada 3 Februari 2025, Kumpulan mengumumkan cadangan pengambilalihan Malakoff Utilities Sdn. Bhd. (MUSB), mengembangkan jejak tenaga penyejuknya di KL Sentral.
Langkah ini mengukuhkan kepimpinannya dalam pengurusan tenaga mampan, manakala inisiatif kerajaan seperti Bajet 2025 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional menyediakan landasan pertumbuhan yang kukuh. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001