KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam siasatan kes tembak di sebuah pusat beli-belah, di Setia Alam, Shah Alam, malam kelmarin.
Siasatan antara dua jabatan itu dan Polis Kontinjen Selangor dibuat selepas suspek dilaporkan memiliki 11 rekod jenayah dan dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kerjasama dan bantuan siasatan, untuk mengesan suspek selain mengenal pasti rakan-rakan suspek berdasarkan rekod jenayah kesalahan berkaitan dadah yang dimilikinya suspek.
“Melalui maklumat yang bakal diperoleh, usaha memburu dan mengesan suspek oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjadi lebih mudah.
“Kerjasama antara jabatan dalam pasukan PDRM seperti perkongsian maklumat adalah sesuatu yang lumrah dan setiap kejayaan penyelesaian kes adalah kejayaan semua pihak,” katanya
dalam sidang media JSJN di Bukit Aman, hari ini.
Dalam kejadian 10 malam Sabtu lalu, suspek disyaki lelaki tempatan dan bersenjatakan pistol melepaskan beberapa das tembakan dalam sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.
Salah seorang pekerja pembersihan cedera selepas terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek terkena kaki dan punggungnya.
Suspek kemudian melarikan diri ke tingkat P2, pusat beli belah itu sebelum melepaskan beberapa das tembakan dan terkena pada pintu kaca dan cermin tangga sebelum melarikan diri.
Dia kemudian menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa milik seorang pengunjung dan memaksanya membawa suspek menuju ke sebuah kawasan di Pandamaran, Klang, dan memberhentikan kereta dan melepaskan mangsa serta melarikan diri.
Kok Chin berkata, setakat ini pihaknya belum dapat mengesahkan lagi bahawa suspek berusia 30-an itu berada dalam pengaruh dadah semasa kejadian tembak berlaku.
“Dalam kes ini, pihak JSJN akan membantu Ketua Polis Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah, dalam melengkapkan siasatan kes berkenaan dan ia juga adalah berdasarkan keperluan siasatan.
“Namun, kita (JSJN) tidak dapat mengesahkan sama ada suspek ini terbabit dalam penyalahgunaan dadah atau berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku hanya kerana dia memiliki rekod jenayah berkaitan kesalahan dadah.
“Suspek hanya boleh disahkan berada di bawah pengaruh dadah sekiranya dia ditangkap serta keputusan ujian air kencingnya disahkan positif,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001