PRU mengejut: Wakil rakyat kerajaan bidas Bersatu, dakwa tak hormat titah Agong

PRU mengejut: Wakil rakyat kerajaan bidas Bersatu, dakwa tak hormat titah Agong

PETALING JAYA – Empat Ahli Parlimen membidas Bersatu yang meneruskan dakwaan kononnya PRU mengejut mungkin diadakan tahun ini walaupun penggal pentadbiran kerajaan perpaduan hanya tamat pada 2027.

Mereka mendakwa hantaran Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali di media sosial berhubung perkara itu sebagai tidak bertanggungjawab dan bertujuan menggugat kestabilan politik yang dilarang Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menerusi titahnya tahun lalu.

Agong dalam titahnya pada 26 Feb tahun lalu, menegaskan baginda tidak akan melayan sebarang permintaan dari pihak cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara, selain meminta pembentukan kerajaan perpaduan dihormati.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dari DAP berkata dakwaan Azmin itu membuktikan Bersatu seolah-olah tidak menghormati titah Agong dan lupa peranannya menjadi pembangkang lebih konstruktif.

“Mereka dah hilang modal dan tumpuan…jadi setiap hari duduk bincang bagaimana nak wujudkan suasana tak stabil,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, dalam hantaran di Facebook, Azmin berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengarahkan jentera parti itu digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU mengejut hujung tahun ini.

Menurutnya, arahan itu dikeluarkan dalam mesyuarat Bersatu yang turut membincangkan ‘perkembangan amat meyakinkan’ hasil pertemuan kepimpinan tertinggi Bersatu dan PAS, pada Rabu lalu.

November lalu ketika perhimpunan agung tahunan Bersatu, Azmin juga meminta ahli parti bersedia jika PRU mengejut diadakan sebelum penggal pentadbiran kerajaan tamat.

Pada 16 Dis 2022, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin kerajaan perpaduan pimpinannya akan kukuh sehingga tamat penggal ini selama lima tahun, susulan perjanjian persefahaman permuafakatan dimeterai lima gabungan parti politik.

Lima gabungan dan parti itu terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Warisan.

PRU mengejut hanya omong kosong

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata tiada keperluan pilihan raya mengejut diadakan penghujung tahun ini memandangkan kerajaan pimpinan Anwar dalam keadaan utuh dan stabil.

“Nasihat saya kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) supaya lebih baik fokus pada rakyat serta negara…jangan asyik berbicara tentang pilihan raya. Omong-omong kosong seperti ini tidak membawa faedah,” kata wakil DAP itu.

Wakil rakyat Kinabatangan Bung Moktar Radin dari BN pula mempersoalkan naratif itu kerana pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU hanya boleh dibuat atas perkenan Agong selepas dimohon perdana menteri.

“Saya keliru kerana biasanya pemimpin pemerintah kerajaan yang ada kuasa minta, tapi kenyataan ini bertentangan pula (dibuat pembangkang)…ini boleh dikatakan provokasi politik,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dari Amanah menyifatkan kenyataan Azmin tiada pemberat kerana dibangkitkan tanpa alasan munasabah untuk keperluan mengadakan PRU.

“Lainlah kalau perdana menteri sebut, baru ada kesan. Saya kira Bersatu sekarang ini dalam keadaan lemah dan mungkin ini cara nak kejutkan jentera yang lesu,” katanya.

Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran dari PKR mendakwa Bersatu sengaja mengeluarkan kenyataan itu bagi mengalihkan isu perpecahan dalam parti.

Berbeza dengan rakan dari blok kerajaan, wakil rakyat Pasir Gudang Hassan Karim pula berkata ‘tiada yang luar biasa’ mengenai kemungkinan PRU16 hujung tahun ini, sambil menganggap kenyataan Azmin itu sebagai nasihat kepada ahli Bersatu.

“Tugas pemimpin parti untuk sentiasa ingatkan jentera parti berada dalam keadaan siap sedia, tiada yang pelik, bukan Azmin sahaja minta Bersatu siap sedia untuk pilihan raya.

“Malah, Anwar selaku presiden PKR juga telah menggerakkan jentera dari peringkat atas hingga ke ranting untuk menghadapi PRU,” katanya.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *