Prosiding komital Zahid demi tangguh perbicaraan libel, kata Dr M

Prosiding komital Zahid demi tangguh perbicaraan libel, kata Dr M

PETALING JAYA – Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa cubaan Presiden Umno, Zahid Hamidi memulakan prosiding komital terhadapnya dibuat dengan niat jahat untuk menangguhkan perbicaraan fitnah yang sedang berlangsung.

Mahathir, 99, berkata wawancara media selepas prosiding mahkamah pada 5 Dis lalu sekadar mengulangi keterangannya dalam saman libel terhadap Zahid pada 2022.

Menurutnya, Zahid tidak memohon perintah larangan bersuara untuk menghalang media melaporkan prosiding itu atau beliau bercakap kepada media.

“Perbicaraan di Mahkamah Tinggi menarik ramai penyokong dan tiada kenyataan saya yang menunjukkan sikap tidak hormat kepada mahkamah atau mengganggu pentadbiran kehakiman,” kata Mahathir dalam afidavit difailkan untuk mengetepikan permohonan ex-parte Zahid yang mendakwa beliau menghina mahkamah.

Pada 7 Jan lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong membenarkan Zahid memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Mahathir, selepas mendengar permohonan peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Zahid dalam kamar.

Mahathir berkata, disebabkan tiada perbicaraan juri, peraturan sub judice tidak terpakai dan Gan tidak mudah terpengaruh.

Dalam pemfailan mahkamah oleh peguam caranya Haidir & Co pada Isnin, Mahathir menyifatkan dakwaan Zahid bahawa kenyataannya pada 5 Dis lalu ialah “prasangka bahaya yang nyata dan besar” sebagai rekaan serta spekulatif tanpa bukti.

“Prosiding menghina tidak perlu kerana defendan (Zahid) akan berpeluang membuat pembelaannya.”

Zahid, sebagai defendan pertama, dijadualkan memberi keterangan Mei ini.

Mahathir berkata, tindakan Zahid turut menyalahgunakan proses mahkamah kerana motif tersembunyinya untuk menafikan hak perlembagaannya bagi kebebasan bersuara.

“Umum mengetahui saya ialah semak dan imbang kepada kerajaan semasa atau mana-mana pentadbiran terdahulu,” kata perdana menteri selama 22 tahun sehingga 2003 dan memegang jawatan sama selama 22 bulan lagi sehingga Februari 2020.

Gan dijadual menetapkan perbicaraan antara pihak semasa pengurusan kes hari ini.

Pada sidang media 5 Dis lalu, Mahathir menunjukkan salinan kad pengenalan dan sijil kelahirannya serta salinan sijil kelahiran anak-anaknya.

Zahid mendakwa sidang media itu melanggar peraturan “sub judice” yang berpotensi menjejaskan integriti dan kebebasan badan kehakiman.

Mahathir menyaman Zahid pada 2022 atas dakwaan beliau menggunakan nama Kutty, yang menurut bekas perdana menteri itu bertujuan menghinanya.

Zahid didakwa membuat kenyataan itu pada mesyuarat Umno bahagian di Kelana Jaya, Selangor pada 30 Julai 2017.

Mahathir mendakwa kenyataan itu membayangkan beliau tidak dilahirkan sebagai orang Melayu atau Islam, dan nama asalnya ialah Mahathir anak Iskandar Kutty.

Katanya, ia juga membayangkan nama Mahathir Mohamad digunakan untuk mengaut keuntungan dari segi politik dan peribadi. Dalam pembelaannya, Zahid berkata, nama itu merujuk kepada individu berdasarkan maklumat terkandung dalam salinan kad pengenalan lama.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *