Oleh: Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
AMANAH adalah sebuah parti berpandukan kepada politik nilai dan bergerak dalam falsafah dan kerangka RAHMAH dengan mengambil semangat ‘Rahmatan Lil Alamin’ (Rahmat Kepada Seluruh Alam) sebagai asasnya dan ia adalah parti Islam yang membuka keahliannya kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum.
Kami bergerak dengan menghormati kepelbagaian di Malaysia dan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Tujuan asal penubuhan AMANAH adalah untuk membawa RAHMAH kepada semua kaum dan membentuk sebuah negara yang bertanggungjawab serta telus bersandarkan kepada prinsip Maqasid Syariah sebagai sendi terasnya.
Slogan kami adalah ‘Amanah, Progresif dan Peduli’. RAHMAH adalah singkatan kepada nilai teras yang kami pegang, iaitu Rahmah, Amanah, Hikmah, Muafakat, Adil dan Hormat. Hasrat kami lahir kerana Pas membawa politik fitnah dan perpecahan bertopengkan Islam dalam labelnya bukan kerana kami disuruh oleh DAP!
AMANAH lahir atas hasrat untuk menjaga nama baik dan imej Islam dalam amalan siasah politiknya, bukan sebab cetusan daripada DAP!
Dalam masa tiga tahun penubuhannya, AMANAH berjaya menjadi komponen Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 dalam tahun 2018 di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, yang beliau kini adalah Penasihat kepada Menteri Besar Kedah, di bawah SG4.
Bukan itu sahaja, AMANAH telah berjaya membawa gagasan RAHMAH dalam pentadbiran Islam Persekutuan ketika Datuk Seri Dr Mujahid menjadi Menteri Agama dan diterima sebagai dasar pentadbiran Islam oleh Majlis Raja-Raja pada 2019 dan diberikan peruntukan dalam bajet 2020 untuk menyebarluaskan dasar Gagasan Negara Rahmah.
Waktu itu Gagasan Rahmah yang dibawa dimomokkan oleh parti PAS yang melontarkan fitnah kepada usaha pemulihan Tabung Haji (TH) dan lain-lain inisiatif yang dilakukan dalam pentadbiran Islam.
Ternyata kes TH dijual kepada orang Cina kalah di Mahkamah, Fitnah Sokong LGBT oleh Harakah terbukti fitnah setelah memohon maaf dan pelbagai lagi fitnah yang dilontarkan kepada AMANAH.
Melalui Gagasan Rahmah, Akta Profesion Guaman Syarie berjaya diwartakan untuk memartabatkan kedudukan peguam Syarie (2019). Mahkamah Hadhanah untuk tumpuan soalan ‘nafaqah’ anak daripada pasangan yang bercerai berjaya diusahakan.
Menguatkuasakan keputusan ‘nafaqah’ dari Mahkamah Syariah berjaya dilakukan dan inisiatif menyeragamkan Undang2 Jenayah Syariah telah dimulakan, termasuk memperkenalkan konsep hukuman rehabilatatif. Banyak lagi usaha yang hendak dilaksanakan tetapi terbantut dengan Langkah Sheraton 2020 di mana PAS adalah salah satu parti penggeraknya.
Tahun 2022 sekali lagi AMANAH berada dalam komponen Kerajaan Perpaduan dan meneruskan perjuangan RAHMAH dengan kejayaan Allahyarham Datuk SerI Salehudin Ayob membawa label RAHMAH dalam produk kementeriannya.
Sehingga kini MADANI sentiasa sinonim dengan RAHMAH dalam teras ke enam MADANI, iaitu IHSAN, manakala label RAHMAH terus menjadi sebutan dalam setiap isi rumah di Malaysia hingga ke hari ini.
Saya hanya mahu mengingatkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Sanusi Mohd. Nor supaya tidak keliru dengan dakwaannya bahawa AMANAH lahir dari DAP sepertimana ramai daripada ahlinya dikelirukan oleh pemimpin Pas dengan dakwaan-dakwaan yang pelik tanpa membuat kajian rapi, tetapi menjadi bahan politik murahan bermotifkan perkauman dan agama yang sempit.
Laporan polis telah dibuat kerana dakwaan AMANAH dilahirkan oleh DAP mengukuhkan lagi naratif jahat perkauman yang dibawa oleh Pas untuk memecahbelahkan perpaduan yang dinikmati hari ini.
AMANAH yang akan berusia 10 tahun pada 16 Ogos 2025 tetap istiqamah dengan cita-citanya untuk membawa RAHMAH kepada rakyat Malaysia.
Walaupun kami kecil, tetapi kami tidak membawa politik Fitnah dan Kebencian, kami membawa politik Rahmah dan Kesatuan. Sanusi boleh terus memperlekehkan apa sahaja yang tidak sebulu dengannya, tetapi rakyat menatap setiap tutur kata dan tindakan Menteri Besar Kedah itu.
Pentaksub Pas hanya akan mengulang fitnah bahawa AMANAH adalah DAP kerana kejahilan fakta, namun hari ini panglima perang Pas berstatus Menteri Besar terbukti sah tarafnya semacam seorang pentaksub Pas bercakap tanpa fakta.
Penulis adalah Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara (AMANAH)
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001