PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 akan berlangsung pada 3 hingga 6 dan 10, 12 serta 13 Februari ini membabitkan 4,507 calon berdaftar.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan hari ini, berkata STAM akan dijalankan di 132 pusat peperiksaan di seluruh negara dengan 926 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancarannya.
“KPM meminta semua calon merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan perlu dipatuhi sepanjang ia berlangsung.
“Selain itu, calon juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan serta pengendalian peperiksaan STAM 2024,” katanya.
KPM berkata, calon juga perlu membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan, manakala jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.
Katanya, KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan terhadap sebarang kemungkinan termasuk banjir ketika peperiksaan berlangsung, dengan mekanisme dan langkah sewajarnya membabitkan kerjasama agensi berkaitan sudah diambil.
“Calon dinasihat memaklumkan pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” katanya.
KPM juga komited melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan berkenaan dilaksanakan dengan lancar dan teratur serta mendoakan semua calon menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001