PARIS – Seorang wanita Perancis yang membuat pendedahan di televisyen bagaimana dia kehilangan wang simpanan kepada individu yang menyamar sebagai aktor terkenal Hollywood, Brad Pitt berhadapan gangguan dalam talian menyebabkan wawancara tersebut ditarik balik daripada tayangan pada Selasa.
Dalam program Seven to Eight di saluran TF1 itu, wanita yang dikenali sebagai Anne itu memberitahu, dia mempercayai dirinya sedang menjalinkan hubungan romantik dengan bintang Hollywood tersebut.
Kerana terlalu percaya dengan penyamaran itu juga menyebabkan Anne bercerai dengan suaminya serta memindahkan 830,000 euro (RM3.85 juta) kepada penyamar itu.
Anne benar-benar terpedaya dengan akaun palsu di media sosial dan WhatsApp serta teknologi penciptaan imej kecerdasan buatan (AI) untuk menghantar apa yang kelihatan seperti swafoto dan mesej daripada Pitt.
Untuk mendapatkan wang, sindiket berkenaan berpura-pura menyamar sebagai aktor masyhur berusia 61 tahun itu yang terdesk memerlukan dana untuk rawatan buah pinggangnya.
Penyamar itu turut memberi alasan akaun banknya dibekukan berikutan proses perceraian dengan bekas isterinya, aktres Angelina Jolie.
Apa yang lebih parah, Anne, seorang pereka dalaman berusia 53 tahun yang mengalami masalah kesihatan mental mempercayai komunikasi itu selama setahun setengah.
Dia hanya menyedari menjadi mangsa penipuan jenayah dalam talian apabila berita mengenai hubungan sebenar Pitt dengan teman wanitanya, Ines de Ramon, muncul.
“Kisah yang disiarkan pada hari Ahad ini telah menyebabkan gelombang gangguan terhadap saksi tersebut,” tulis penyampai TF1, Harry Roselmack, di akaun X miliknya pada Selasa.
“Demi melindungi mangsa, kami memutuskan untuk menarik balik siaran ini daripada platform kami.” Anne dikatakan mengalami kemurungan yang teruk dan menerima rawatan di hospital ketika wawancara tersebut ditayangkan.
Wawancara itu dirakam secara terbuka selain turut berkongsi gambar keluarga menjadi tular pada Isnin.
Susulan itu, ia mencetuskan pelbagai maklum balas yang mengecam serta komen-komen humor.
Tidak ketinggaan, terdapat juga netizen yang menuduh TF1 gagal melindungi individu yang terdedah dan mungkin tidak sedar tentang akibat mendedahkan kisahnya kepada umum.
Kelab Bola Sepak Toulouse turut berkongsi ciapan jenaka dengan mengatakan: “Brad beritahu kami dia akan berada di stadium pada Rabu ini” sebelum menarik balik mesej tersebut dan memohon maaf.
Netflix Perancis juga memuat naik hantaran mempromosikan “empat filem lakonan Brad Pitt yang benar-benar boleh ditonton secara percuma.”
Penipuan romantik sudah menjadi sebahagian daripada internet sejak era awal e-mel, tetapi pakar mengatakan AI kini meningkatkan risiko pencurian identiti, penipuan dan penipuan dalam talian.
Anne memberitahu TF1, dia pertama kali dihubungi oleh seseorang yang menyamar sebagai ibu Pitt sejurus dia mula menggunakan Instagram semasa percutian ski bersama keluarganya di Perancis.
“Dia beritahu saya bahawa anaknya memerlukan seseorang seperti saya,” jelas Anne.
Beberapa hari kemudian, penjenayah itu sekali lagi mengirim mesej dan kali ini menyamar sebagai Pitt.
“Pada mulanya saya fikir ini palsu, sangat mengarut,” jelas Anne kepada TF1.
“Tetapi saya tidak biasa dengan media sosial dan tidak benar-benar memahami apa yang sedang berlaku kepada saya.”
“Saya tertanya-tanya mengapa mereka memilih saya untuk melakukan kemudaratan seperti ini?” tambahnya.
“Saya tidak pernah memudaratkan sesiapa pun. Orang-orang sebegini selayaknya dihumban ke neraka,” luahnya penuh kesal. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
- SEMASA
Tiga maut, enam parah lori terbabas rempuh empat kenderaan
REMBAU – Tiga maut, manakala enam lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan dekat Kilometer (KM) 226.5 (U) Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu, dua mangsa maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang membawa muatan tanah dan bunga yang dipandu Mohd Esa Daharin, 73, dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang, Seremban.
“Lori yang turut dinaiki dua kelindan warga Bangladesh itu dikatakan dipandu di lorong kiri dan dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lori terbabit kemudian dipercayai melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum terbabas semula ke kiri jalan.
“Pada masa sama, sebuah kereta Honda City dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun yang datang dari arah belakang di lorong kanan dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar lori itu.
“Seterusnya, kereta jenis BMW yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dan kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki juga dari arah belakang dipercayai turut melanggar lori terbabit,” katanya.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu lori serta kelindan dikenali sebagai Md Usuf Ali, 40, parah pada bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.
“Seorang lagi kelindan berusia 40 tahun parah, manakala penumpang Honda City, Terence Ng Zhi Yang, 21, disahkan meninggal dunia sewaktu tiba di Hospital Rembau.
“Pemandu dan penumpang Honda City serta Toyota Vios mengalami cedera parah. Kesemua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasatan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, K Kaveearassu di talian 01121581473.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001