PETALING JAYA – Sebuah NGO menggesa pembekal produk ‘sandwich ham & cheese’ di KK Mart, Shake and Bake Cafe Sdn Bhd dikenakan hukuman denda maksimum kerana memaparkan logo halal palsu.
Dalam kenyataan Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia Armin Baniaz Pahamin mencadangkan hukuman dikenakan di antara RM5 juta hingga RM10 juta selain lesen perniagaannya disekat sebagai pengajaran.
Menurutnya, tindakan itu sebagai pengajaran kepada syarikat lain supaya mematuhi undang-undang dan menjaga sensitiviti agama di negara ini.
“Sebagai hab pengeluaran produk halal global, kredibiliti logo halal dipamerkan pada produk makanan tidak boleh dipermainkan.
“Walaupun insiden itu tidak melibatkan KK Mart secara langsung, ia menunjukkan perlunya pemantauan menyeluruh terhadap produk yang berpotensi mencetuskan sensitiviti agama.
“Hukuman berat perlu dikenakan untuk mencegah kejadian serupa,” katanya yang juga mencadangkan tindakan turut dikenakan terhadap KK Mart kerana cuai menjual produk memaparkan logo halal palsu itu.
Semalam, KK Mart memaklumkan telah membekukan semua urusan perniagaan dengan pembekal produk ‘sandwich ham & cheese’ yang dijual di salah satu cawangannya di Universiti Malaya (UM).
Rangkaian kedai serbaneka itu turut memaklumkan bahawa kemasukan produk daripada Shake and Bake Cafe ke semua cawangan kedai dihentikan.
UM baru-baru ini mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mengesahkan sandwich ‘sandwich ham & cheese’ dijual di kedai serbaneka di UM itu tidak mempunyai sijil pengesahan halal, iaitu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah menyerbu kilang Shake and Bake Cafe, Jumaat lalu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001