KUALA LUMPUR – Polis menerima satu laporan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung pelbagai hantaran di media sosial yang didakwa berbaur hasutan berkaitan dirinya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketika mengesahkan perkara itu, berkata Hannah tampil membuat laporan polis di ibu negara pada 31 Disember lalu.
“Hannah Yeoh ada buat laporan polis pada 31 Disember lalu,” katanya dalam satu jawapan ringkas kepada media, hari ini, yang dipetik Berita Harian.
Sementara itu, Hannah dalam satu hantaran di media sosial, baru-baru ini memaklumkan beliau sudah tampil membuat satu laporan polis berhubung isu itu.
“Sehingga hari ini, terlalu banyak hantaran di media sosial yang berbaur hasutan sedangkan kes ini masih dalam proses untuk membuktikan keadilan buat diri saya.
“Oleh sebab itulah saya membuat laporan polis semua dakwaan yang tular tersebut,” katanya.
Bersama hantaran itu, turut dimuat naik sekeping foto memaparkan Hannah memegang salinan laporan polis bersama lima individu lain dipercayai termasuk peguam di lobi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini.
Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut, sebelum ini dilaporkan akan membuat laporan polis berhubung penyebaran video dan mesej yang memberi gambaran kononnya beliau berhasrat memurtadkan orang Muslim atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
Beliau dilaporkan berkata penyebaran video dan mesej berniat jahat itu dikhuatiri boleh menjejaskan rayuannya berhubung kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Hannah terhadap Musa berhubung dakwaan kenyataan fitnah pada satu forum di sebuah universiti empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas mendapati Hannah selaku plaintif gagal membuktikan Musa sebagai defendan mempunyai niat jahat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu berunsur fitnah.
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.
Susulan itu, beberapa pihak tampil membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Hannah yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, hari ini memaklumkan polis menerima 182 laporan terhadap Hannah setakat dan 59 individu sudah dirakam percakapan.
Hannah pula memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 26 Disember lalu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001