Kak Nita tolak undangan, tak berganjak keputusan bersara

Kak Nita tolak undangan, tak berganjak keputusan bersara

KUALA LUMPUR – Penyanyi bertaraf superstar, Anita Sarawak, 72, menolak baik hasrat penganjur mengundangnya tampil dalam konsert mega tribute buat komposer legenda, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan di Kuala Lumpur, tahun depan.

Difahamkan, Anita atau lebih mesra disapa Kak Nita menjadi salah seorang bintang handalan tersenarai dalam kertas cadangan bersama ramai lagi penghibur lain yang pernah digilap bakat oleh Allahyarham Adnan.

Anita pernah merakamkan lagu Cintamu Muzik Di Hatiku ciptaan Allahyarham Adnan dan lirik ditulis oleh Allahyarham Seri Bayu.

Mantan editor hiburan dan penulis lirik yang kini perunding konsert, Roslen Fadzil berkata, dia diminta penganjur konsert untuk mendapatkan Anita yang kini menetap di Amerika Syarikat pada Oktober lalu, lapor Berita Harian.

“Demi mendapatkan Anita, saya meminta bantuan adik angkatnya yang juga bekas wartawan hiburan The New Straits Times (NST), Shuib Taib berhubung dengan Anita dan suaminya, Mahathir Abdullah di Las Vegas dengan harapan mereka bersetuju.

“Sesudah Shuib berjaya menghubungi mereka, akhirnya kami mendapat jawapan daripada Mahathir melalui pesanan WhatsApp. Walaupun jawapan mengecewakan, tapi kami hormati pendirian Anita dan Mahathir,” katanya.

Menerusi pesanan dikirimkan, Mahathir memberitahu, Anita sedih dengan pemergian Allahyarham Adnan.

“Terima kasih kerana sudi menghubungi. Apabila memaklumkan kepada Anita mengenai konsert mengenang pemergian Adnan, beliau begitu sedih dan mula terkenangkan detik yang pernah dikongsi bersama salah seorang produser terbaik sepanjang zaman itu.

“Sampaikan salam kami kepada ahli keluarga Adnan dan mereka seharusnya berbangga dengan bakat unik dimiliki Adnan.

“Mengenai undangan konsert, Anita ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tanda ingatan.

“Bagaimanapun, seperti diketahui, Anita sudah bersara dan kini memiliki kehidupan berbeza. Kehidupan privasi membuatkannya lebih selesa.

“Jadi, mohon sampaikan kemaafan kami kepada penganjur dan kami amat menghargai tanda ingatan,” kata Mahathir dalam mesejnya.

Momen Roslen bersama Anita dan Mahathir ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). – Foto ihsan Roslen Fadzil

Roslen berkata, Mahathir menolaknya dengan baik dan penuh budi bahasa.

“Jawapan diberikan mungkin mengecewakan jutaan peminat Anita, namun itulah hakikat perubahan terjadi kepada penyanyi Akhirnya Kini Pasti itu.

“Bagaimanapun, Mahathir mengirimkan fotonya bersama Anita kepada Shuib bagi mengubati kerinduan peminat. Kita doakan kesejahteraan mereka,” kata Roslen.

Terdahulu, kehilangan Anita dari radar dunia hiburan menimbulkan 1,001 persoalan berlalu tanpa jawapan pasti.

Jejak Anita dan Mahathir sukar dihidu, malah, tiada siapa berjaya menyelongkar kehidupan penyanyi yang popular menerusi lagu Seksis itu selepas menghilangkan diri pada penghujung 2010.

Selama lebih sedekad berlalu pelbagai spekulasi bertebaran, malah, mula timbul cerita rekaan ditokok-tambah bagi menghangatkan tragedi ‘kehilangan’ anak kepada seniman Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan seniwati Allahyarham Siput Sarawak itu.

Memegang utuh nilai persahabatan selama lebih 30 tahun, Anita atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohd Taib dalam diam menghubungi Shuib pada 2022.

Namun, berita mengenai Anita menghubungi Shuib dan Roslen pada Syawal ketika itu terbongkar dan tular dalam media sosial.

Malah, kebanyakan portal hiburan tempatan dan antarabangsa melaporkannya hingga menjadi ‘trending’ di seluruh dunia.

Anita beritahu Shuib, dia bahagia dengan kehidupan hari ini dan hanya menyanyi ketika memandu kereta.

Pelakon filem Dua Kali Lima dan Diva Popular itu juga menegaskan sudah bersara dan meninggalkan dunia nyanyian sepenuhnya.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *