KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini melontarkan nasihat kepada ahli parti itu untuk sentiasa mempunyai kekuatan diri dan tidak mengharapkan sebarang keistimewaan sewaktu menyertai wadah politik.
Beliau berkata, dalam sebuah parti politik yang besar, wujud pelbagai budaya termasuklah perilaku cah keting (sabotaj) dan adalah penting untuk mereka menjadikannya sebagai satu cabaran.
“Mana-mana pertubuhan parti, macam-macam budaya ada dan sebagai orang politik, kita perlu mempunyai kekuatan. Tidak boleh bermanja-manja untuk masuk parti, tidak boleh mengharapkan keadaan untuk mendapatkan keistimewaan.
“Apa pun dalam sebuah organisasi yang mempunyai ramai ahli, macam-macam budaya ada dan di sinilah kita didedahkan dan membina kekuatan, memahami serta mengatasi cabaran untuk dihadapi.
“(Jadi) saya nak kata (perilaku sabotaj) ada, tiada, saya nak kata tiada, ada… jadi masing-masinglah,” katanya dipetik Berita Harian dalam sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.
Semalam, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan, beliau tidak membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti walaupun disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada perbincangan awal mengenainya dengan pihak berkaitan.
Tambahnya, beliau sendiri amat terkejut dengan kenyataan kepimpinan partinya mengenai perkara itu malah mengakui, tidak menerima sebarang panggilan daripada pucuk pimpinan UMNO untuk bertanyakan isu sebenar.
“Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat. Ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.
“Ramai maklum isu ini sudah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks UMNO Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu UMNO Selangor,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, setakat ini tiada perbincangan mengenai isu Tengku Zafrul di kalangan pemimpin tertinggi UMNO.
Katanya, ia termasuklah perbincangan mengenai tindakan yang akan diambil parti terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252