LOS ANGELES – Polis memaklumkan remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga suspek empat kes pembunuhan membabitkan ahli keluarganya, ditahan di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Polis New Mexico dalam kenyataan berkata, Pejabat Sherriff Valencia County menerima panggilan kecemasan awal pagi Sabtu daripada seorang remaja lelaki, ‘memaklumkan’ dia membunuh ahli keluarganya.
Katanya, remaja dalam keadaan sangat mabuk itu ‘keluar dari kediaman dengan tangan diangkat’ ketika polis tiba di rumah yang terletak di bandar Belen.
“Polis masuk ke rumah dan mendapati Leonardo Leyva, 42; Adriana Bencomo, 35; Adrian Leyva, 16; dan Alexander Leyva, 14, semuanya maut disyaki akibat ditembak dan sepucuk pistol ditemui di atas meja di dapur,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai di Belen berkata, mangsa adalah ibu bapa dan dua beradik kepada suspek.
Berdasarkan polis, suspek sudah didakwa atas empat pertuduhan membunuh darjah pertama.
Kes tembakan maut adalah kejadian tragik yang kerap berlaku di AS, di mana undang-undang senjata api agak longgar dan bilangan senjata api melebihi jumlah penduduk di negara itu.
Berdasarkan ‘Gun Violence Archive’, sekurang-kurangnya 484 kes tembakan beramai-ramai, yang ditakrifkan sebagai tembakan membabitkan sekurang-kurangnya empat mangsa, sama ada terbunuh atau cedera, direkodkan berlaku di seluruh AS, tahun ini. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252