KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan penangguhan Konvensyen Nasional parti itu yang dijadualkan pada 28 dan 29 Disember ini.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah berikutan bencana banjir yang melanda negara ini belum pulih sepenuhnya.
Malah, katanya, ramalan cuaca memaklumkan hujan lebat berterusan dalam masa terdekat.
“Serentak dengan ketetapan ini, Konvensyen Nasional sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Wanita Muda Amanah yang dijadualkan pada 27 Disember ini juga ditangguhkan.
“Jawatankuasa Pimpinan Nasional dengan ini telah membuat ketetapan tarikh baharu Konvensyen Nasional Amanah 2024 adalah pada 25 dan 26 Januari depan di KSL Esplanade Hotel, Klang, Selangor.
“Sehubungan dengan ketetapan ini, Konvensyen Nasional sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Wanita Muda Amanah akan diadakan pada 24 Januari 2025 di lokasi yang sama,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Muhammad Faiz, selaras dengan ketetapan itu, jentera Amanah di semua peringkat diminta membantu operasi bantuan banjir terutama pasca banjir di kawasan yang terkesan dengan ujian itu dalam mengangkat agenda rahmah.
Kata beliau, Jawatankuasa Pimpinan Nasional memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi para pemimpin, perwakilan, ahli dan penyokong Amanah serta semua pihak yang terkesan dengan penangguhan itu. – ND
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
