KUALA LUMPUR – “Saya okay, Mimi. Terima kasih.” Demikian jawapan pelakon sensasi, Rozita Che Wan menjawab pertanyaan salah seorang pengguna akaun TikTok yang dikenali sebagai Mimi.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta menjawab persoalan Mimi yang bertanyakan keadaannya selepas ‘panas’ dengan kontroversi apabila kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya diserbu pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas dakwaan gagal menjelaskan hutang hampir RM1 juta menerusi sesi siaran langsung di aplikasi TikTok, malam tadi.
“Are you okay my dear? (Adakah anda okay, sayangku?),” tulisnya. dipetik Berita Harian sebagai melaporkan.
Selain itu, ramai peminat bertanya khabar dan mendoakan rezeki serta kesejahteraan Rozita di sepanjang lebih satu jam sesi siaran langsung itu.
Berikutan itu, Rozita juga menzahirkan penghargaannya kepada mereka yang tidak putus memberikan sokongan kepadanya.
“Terima kasih kepada yang komen baik-baik. Terima kasih atas sokongan anda. Semoga apa yang anda komen baik-baik, berbalik kepada anda semula,” katanya.
Dalam pada ligat mempromosikan produk jualannya, Rozita ada berkongsi beberapa perkara bersama pengikutnya.
Antaranya, nasihat menguruskan rumah tangga dan berkenaan karier lakonannya.
“Jadi ‘housewife’ memang letih. Saya dulu menguruskan rumah besar dengan dua anak. Dulu saya keluar rumah dua hingga tiga kali untuk hantar dan ambil anak ke sekolah.
“Cara saya, malam sebelum tidur saya sudah letak baju dalam mesin basuh, esok saya bangun sidai sahaja. Saya selesaikan kerja rumah sebelah malam, esok bangun pagi siram pokok, sidai baju dan jaga anak-anak sahaja.
“Kita kena rancang apa nak buat pada sebelah malam. Kalau bangun pagi baru fikir apa nak buat, nanti lambat. Kalau anak-anak di rumah, kalau boleh nak layan anak, teman makan, tengok kartun dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, Rozita berkongsi mula berlakon hanya pada usia 35 tahun, iaitu lima tahun selepas bercerai menerusi perkahwinan pertama.
“Saya mula berlakon pada usia 35 tahun, lima tahun lepas bercerai barulah saya jadi artis. Macam-macam kerja saya buat selepas bercerai, kerja di pejabat, berniaga baju, ambil upah jahit manik dan sebagainya,” katanya.
Apabila ditanya peminat berhubung lakonan, Rozita berkongsi, dia menggemari naskhah komedi seperti drama Kiah Pekasam dan lebih gemar menerima tawaran lakonan seperti itu.
“Saya suka cerita macam Kiah Pekasam, saya malas nak pergi shooting sebab saya suka cerita macam itu. Komedi saya mahu, kalau lain daripada komedi, saya tak mahu, penat. Sekarang sudah tua, saya suka duduk pejabat berniaga daripada shooting,” katanya.
Sesi siaran langsung yang berakhir pada lebih kurang jam 10.52 malam tadi ditonton oleh 106,900 penonton.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252