KUALA LUMPUR – Propel Global Bhd (Propel Global), penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G), memuktamadkan Mesyuarat Agung Tahunan Keempatnya (AGM ke-4) yang diadakan hari ini, dengan kesemua resolusi dibentangkan mendapat sokongan pemegang saham.
Resolusi diluluskan itu termasuk pemilihan semula pengarah, pembayaran yuran pengarah dan elaun mesyuarat, pelantikan semula juruaudit dan beberapa resolusi korporat utama.
Ini termasuk Cadangan Kuasa Menerbitkan Saham menurut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016 dan Cadangan Pembaharuan Kuasa untuk Kumpulan membeli sahamnya sendiri.
Kelulusan resolusi ini memastikan Propel Global mengekalkan fleksibiliti dan sumber yang diperlukan untuk memacu inisiatif strategiknya dan memanfaatkan peluang masa depan.
Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global, Angeline Lee berkata, pihaknya amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan tidak berbelah bagi para pemegang saham syarikat.
“Resolusi diluluskan hari ini membolehkan Propel Global kekal tangkas dan meneruskan agenda pertumbuhan kami dengan berkesan.
“Keyakinan kukuh ini mencerminkan kebolehan terhadap visi strategik dan komitmen kami untuk menyampaikan nilai jangka panjang bagi semua pihak berkepentingan,” katanya.
Memandang ke hadapan, Kumpulan kekal fokus untuk mengukuhkan kehadiran pasarannya merentas segmen perniagaan utamanya, termasuk O&G, perkhidmatan teknikal dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Dengan memanfaatkan sokongan daripada AGM hari ini, Propel Global berada pada kedudukan yang baik untuk memajukan inisiatifnya, mengemudi cabaran industri dan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan yang mampan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252