Oleh: Mazlan Syafie
KISAH Ashabul Kahfi adalah antara kisah luar biasa yang dirakamkan dalam al-Quran.
Ia bukan sekadar cerita sejarah, tetapi sebuah pengajaran mendalam mengenai keimanan, tawakal dan kekuasaan Allah SWT.
Kisah ini menggambarkan bagaimana sekumpulan pemuda mempertahankan akidah mereka di tengah-tengah tekanan kezaliman seorang raja hingga Allah SWT menidurkan mereka selama berabad-abad untuk melindungi iman mereka.
Sehingga hari ini, kisah ini terus menginspirasikan umat Islam di seluruh dunia.
Ashabul Kahfi adalah sekumpulan pemuda yang hidup dalam masyarakat dipimpin oleh seorang raja zalim yang memaksa rakyatnya menyembah berhala.
Raja itu dikenali dalam beberapa kajian sejarah sebagai Daqiyanus atau Decius, seorang pemerintah Rom yang berkuasa pada abad ke-3 Masihi.
Baginda terkenal sebagai seorang yang keras menindas sesiapa sahaja yang menolak kepercayaannya.
Dalam usaha mempertahankan keimanan mereka kepada Allah Yang Esa, pemuda-pemuda ini menolak untuk tunduk kepada arahan baginda.
Keberanian mereka dirakamkan dalam firman Allah SWT:
“Mereka berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika tidak (kami katakan yang demikian), bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (Surah Al-Kahfi, 18:14)
Keputusan untuk mempertahankan iman mereka membawa risiko yang besar. Apabila raja mengetahui keimanan mereka, baginda memerintahkan agar mereka ditangkap.
Namun, pemuda-pemuda ini melarikan diri untuk menyelamatkan diri dan iman mereka. Dalam perjalanan, mereka ditemani seekor anjing setia yang dikenali dalam beberapa riwayat sebagai Qitmir.
Anjing ini menjadi penjaga mereka di pintu gua, simbol kesetiaan dan perlindungan yang Allah SWT berikan kepada mereka.
Mereka akhirnya menemui sebuah gua yang tenang di kawasan yang kini dipercayai sebagai al-Raqim, berhampiran bandar Amman di Jordan.
Terdapat hipotesis lain yang menyebut lokasi gua ini mungkin terletak di kawasan Ephesus, Turki. Walau di mana pun lokasinya, gua ini menjadi tempat perlindungan mereka, jauh dari kezaliman raja.
Dengan penuh tawakal, mereka berdoa kepada Allah SWT:
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” (Surah Al-Kahfi, 18:10)
Allah SWT menidurkan mereka di gua tersebut selama 300 tahun (mengikut tahun matahari) atau 309 tahun (mengikut tahun bulan). Selama tempoh itu, tubuh mereka kekal utuh, dilindungi oleh Allah dalam cara yang luar biasa.
Firman Allah:
“Dan engkau sangka mereka berjaga, padahal mereka tidur, dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka pula menegangkan dua tapak lengannya di muka pintu gua.” (Surah Al-Kahfi, 18:18)
Apabila mereka bangun, mereka tidak sedar bahawa mereka telah tidur selama berabad-abad. Mereka menyangka hanya tidur selama sehari atau sebahagian daripadanya.
Perut mereka lapar, dan salah seorang daripada mereka dihantar ke bandar untuk membeli makanan.
Dalam Surah Al-Kahfi, Allah menyebutkan bagaimana mereka membawa wang perak lama yang masih ada bersama mereka:
“Maka utuslah salah seorang daripada kamu dengan wang perak ini ke bandar, biarlah dia melihat mana-mana makanan yang lebih baik, kemudian bawalah sebahagian daripadanya untuk kamu, dan hendaklah dia berlemah-lembut, dan janganlah pula dia bertindak yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.” (Surah Al-Kahfi, 18:19)
Apabila pemuda itu tiba di bandar, beliau terkejut melihat perubahan besar. Budaya, pakaian, dan bahasa masyarakat telah berubah sepenuhnya.
Raja zalim yang memerintah pada zaman mereka telah lama tiada, dan penduduk kota ketika itu telah menerima agama tauhid.
Wang perak yang digunakan oleh pemuda tersebut menarik perhatian penduduk kerana ia berasal dari zaman yang sangat lama, sehinggakan mereka menjadi hairan bagaimana seseorang dapat memilikinya.
Berita mengenai pemuda ini tersebar luas dan akhirnya sampai ke telinga raja pada zaman itu, seorang pemerintah yang beriman.
Raja dan rakyatnya melihat pemuda-pemuda ini sebagai bukti kekuasaan Allah SWT. Raja sendiri mengunjungi gua itu untuk menyaksikan tanda kebesaran Allah (cerita lisan).
Pemuda-pemuda ini menyampaikan kisah mereka sebagai pengajaran kepada umat pada masa itu, bahawa Allah berkuasa memelihara orang yang bertakwa walau dalam apa jua keadaan.
Setelah itu, Allah SWT menidurkan mereka semula untuk selama-lamanya, mengakhiri kisah hidup mereka dengan penuh kemuliaan.
Kisah Ashabul Kahfi mengajarkan kita mengenai kekuatan iman dan kepercayaan kepada Allah SWT. Mereka mengorbankan segalanya demi mempertahankan akidah mereka, dan Allah melindungi mereka dengan cara yang luar biasa.
Ia juga mengingatkan kita bahawa Allah Maha Berkuasa menghidupkan semula apa yang telah mati, sebagai bukti kepada kebangkitan pada Hari Akhirat.
Kisah ini bukan hanya mengenai sekumpulan pemuda yang tidur selama berabad-abad, tetapi juga tentang keberanian mempertahankan kebenaran, kesetiaan kepada Allah dan kepercayaan kepada janji-Nya.
Semoga kita semua mengambil pengajaran daripada kisah ini, dan menjadi hamba Allah yang sentiasa teguh dalam iman walau apa pun cabaran. Amin. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252