BERITA UTAMA
Seleweng RM2.3b dana 1MDB: Najib diarah bela diri

Bicara penyelewengan dana 1MDB: Najib kata tak pernah jejak kaki Bank AmIslamic

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke Bank AmIslamic di Jalan Raja Chulan sepanjang tempoh beliau didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat suapan.

Najib yang membela diri daripada kandang saksi pada hari pertama di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata beliau juga tidak pernah ke bank itu pada mana-mana masa seperti dinyatakan dalam skandal penyelewengan dana 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri itu yang disoal peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi, yang keseluruhan mengandungi 525 muka surat.

Najib berkata, beliau mulanya mendapat tahu mengenai dakwaan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan kepuasan untuk diri sendiri apabila pertuduhan dibacakan kepadanya buat kali pertama di mahkamah, lapor Berita Harian.

“Saya sangat hairan sehingga saya terpaksa bertanya kepada peguam saya mengenai dakwaan ini ketika pertuduhan itu dibacakan kepada saya.

“Jumlah RM60.6 juta (dalam tuduhan) juga tidak ditanya secara khusus kepada saya (ketika siasatan) dan saya tidak diberitahu ia berkaitan tuduhan pertama atau bagaimana ia berkait dengan jaminan kerajaan yang diberikan kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) bagi penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

“Begitu juga perkara mengenai TIA yang diletakkan di bawah kerajaan persekutuan, usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi serta pelaburan tambahan RM1 bilion di bawah Perjanjian Pembiayaan Murabah,” katanya.

Muhammad Shafee menyoal Najib mengenai adakah beliau berada di Bank AmIslamic di antara 24 Februari dan 14 Jun 2011 dengan menggunakan kedudukan bagi mendapat suapan seperti dinyatakan dalam pertuduhan pertama mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika hujahan di akhir kes pendakwaan Ogos lalu, Muhammad Shafee berkata tiada sebarang bukti yang menunjukkan Najib berada di bank itu antara 24 Februari dan 14 Jun 2011.

Sehubungan itu, katanya, pendakwaan gagal membuktikan anak guamnya menyalahgunakan kedudukan ketika berada di bank berkenaan seperti yang dinyatakan dalam tuduhan.

Pertuduhan pertama terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan bahawa Najib menyalahgunakan kedudukannya selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB di Bank AmIslamic Berhad.

Muhammad Shafee berkata, pendakwaan gagal menunjukkan sama ada secara tersurat mahupun tersirat bahawa wujud tanggapan Najib menyalahgunakan pejabat atau kedudukannya untuk kepuasan diri sendiri mengikut Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Najib berkata, ketika rakaman percakapannya diambil, beliau masih ingat dirujuk siri Slip Kiriman Wang AmBank, tetapi tidak diberitahu bagaimana kiriman itu berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan jawatannya.

Menurut Najib, beliau hanya membacakan dengan kuat butiran seperti yang dipaparkan pada dokumen dan tiada penjelasan lanjut diminta daripada pegawai perakam.

Katanya, beliau tidak pernah disoal mengenai amaun yang berkaitan dengan dana RM60.6 juta itu.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *