KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa lebih dua jam menonton pementasan teater Sirih Bertepuk, Pinang Menari di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini malam tadi.
Selesai menonton teater itu, yang diangkat daripada karya agung Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan bertujuan memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan, Anwar bergambar dengan para pelakon serta dan kru.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Sasterawan Negara ke-10 Datuk Dr Anwar Ridhwan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris.
Teater Sirih Bertepuk Pinang Menari, yang dipentaskan selama tiga hari bermula Jumaat dan diarahkan oleh Dr Marlenny Deenerwan, menghimpunkan 22 pelakon antaranya Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Jay Iswazir, Akmal Ahmad, Farhana Fahizam, Eliza Mustafa, Azman Hassan, Haf Dzi Sofi serta Shasha Fairus.
Ia mengisahkan Sultan Idris Bistari yang berlayar ke luar negeri dan menyerahkan kuasa pemerintahan Indera Mahkota kepada anakandanya, Putera Zahiruddin Shah.
Pementasan itu, yang dianjurkan oleh MOTAC melalui JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya dengan kerjasama DBP, adalah antara usaha pembangunan serta pelestarian kesenian teater, memelihara dan memperkasa warisan budaya Melayu, menyediakan platform kepada penggiat seni untuk mempersembah bakat mereka selain menggalakkan pementasan karya bermutu tinggi.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.jkkn.gov.my ataupun media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252