BERITA UTAMA
Malaysia perlu sistem 2 parti elak Parlimen tergantung, kata Dr M

Malaysia perlu sistem 2 parti elak Parlimen tergantung, kata Dr M

KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru Malaysia mengamalkan sistem dua parti bagi mengelak ketidakstabilan politik berulang pada PRU lalu yang membawa kepada Parlimen tergantung.

Beliau turut mendakwa kerajaan gabungan sedia ada kurang mendapat sokongan rakyat.

Katanya, landskap politik semasa yang dibentuk oleh parti berpecah-pecah dan kumpulan serpihan, melemahkan kemampuan mana-mana parti tunggal untuk membentuk kerajaan stabil.

“Apabila ada perpecahan, anda menjadi lemah. Itu yang berlaku kepada UMNO, yang mana berpecah kepada lima parti.

“UMNO yang kuat memerintah lebih 70 tahun, berpecah kepada lima parti lemah. Apabila anda berpecah kepada lima, sokongan anda juga terpecah. Tiada lagi yang cukup kuat untuk membentuk majoriti,” katanya pada pelancaran buku Syed Hamid Albar, ‘Idealis’.

Dr. Mahathir berkata, PRU15 memaparkan bahaya perpecahan seperti itu dengan tiada satu parti berkemampuan mendapat mandat jelas daripada pengundi.

“Apa yang kita ada sekarang adalah kerajaan yang tidak dipilih rakyat. Ia kerajaan yang tidak disukai rakyat,” katanya.

Dr. Mahathir mencadangkan Malaysia mengambil inspirasi daripada United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang mempunyai dua parti politik dominan.

“Apa yang kita perlu hanya dua parti sahaja, seperti Amerika Syarikat yang mempunyai Republikan dan Demokrat.

“Dengan dua parti, parti yang menang boleh membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, berganjak ke arah sistem dua parti penting untuk memastikan kerajaan stabil yang mencerminkan kehendak rakyat.

“Jika anda mahu selesaikan masalah ini, kita perlu bertukar kepada sistem dua parti,” katanya.

Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri ke-10, pada 24 Nov 2022.

Beliau memperoleh sokongan majoriti membentuk kerajaan selepas disokong Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, dan beberapa wakil lain.

PH menang 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), BN (30), GPS (23), GRS (6), dan Warisan (3). Dua Ahli Parlimen bebas turut dipilih.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *