KUALA LUMPUR – RichTech Digital Berhad (RichTech) syarikat yang terlibat dalam pengedaran tambah nilai elektronik dan penyediaan perkhidmatan pembayaran bil di Malaysia, akan melaksanakan Tawaran Awam Permulaan (IPO) melibatkan terbitan awam sebanyak 54.66 juta saham biasa baharu (Saham Terbitan) dan 25.31 juta saham sedia ada untuk ditawarkan di bawah Tawaran untuk Jualan (Saham Tawaran), secara kolektif mewakili 39.50 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.
RichTech yang ditubuhkan 2010 merupakan pembekal terkemuka bagi perkhidmatan tambah nilai elektronik dan pembayaran bil di Malaysia, dikuasakan oleh platform SRS proprietarinya.
Platform tersebut membolehkan tambah nilai elektronik untuk masa siaran mudah alih dan data, TV digital prabayar, kredit permainan, kredit aplikasi dan kredit e-dompet serta pembayaran bil untuk rangkaian mudah alih pascabayar, utiliti, perkhidmatan penyelenggaraan sistem pembetungan nasional, internet, TV digital pasca bayar, cukai tanah, pembayaran taksiran dan pinjaman pendidikan.
Ia memberi perkhidmatan kepada lebih empat juta pengguna di seluruh negara.
Berikutan pelaksanaan IPO itu, KAF Investment Bank Berhad (KAF) bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan akan menaja jamin 11.67 juta Saham Terbitan yang diperuntukkan untuk orang awam Malaysia dan individu yang layak.
Pengarah Urusan RichTech, Lee Teik Keong berkata, kerjasama dengan KAF membolehkan syarikat membawa perkhidmatannya ke tahap lebih tinggi sambil mengukuhkan keupayaan untuk melayani pasaran yang semakin berkembang.
“Dengan dana yang dikumpul, kami akan menumpukan untuk mengembangkan platform SRS, meningkatkan infrastruktur teknologi dan memperkenalkan perkhidmatan inovatif bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang,” katanya.
Peruntukan Saham Terbitan dan Saham Tawaran adalah seperti berikut iaitu saham untuk rakyat Malaysia melalui pengundian dengan 10.12 juta saham terbitan, diagihkan sama rata antara pelabur bumiputera dan bukan bumiputera (5 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan), peruntukan kepada pengarah dan pekerja yang layak sebanyak 1.55 juta saham terbitan (0.77 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan).
Manakala penempatan persendirian kepada pelabur terpilih sebanyak 42.99 juta saham terbitan (21.23 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan) dan 25.31 juta saham atau 12.50 peratus untuk dijual melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Mengulas lanjut, Teik Keong berkata, RichTech akan menggunakan hasil IPO untuk memacu pertumbuhan dalam pengagihan tambah nilai elektronik dan penyediaan perkhidmatan pembayaran bil, termasuk usaha pemasaran untuk mengembangkan pangkalan korporat dan pengguna akhir SRSnya serta menggunakan hasil untuk tujuan modal kerja am.
Sebahagian akan membiayai pemerolehan pejabat baharu untuk menyatukan ibu pejabat dan cawangannya di bawah satu bumbung, meningkatkan profilkorporat dan kecekapan operasi.
“Selebihnya akan menampung perbelanjaan penyenaraian yang berkaitan dengan debut Pasaran ACEnya dan menyokong inisiatif pertumbuhan strategik,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252