KUALA LUMPUR – Seorang pastor didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh dan menyimpan mayat ibunya dalam peti sejuk beku, tiga tahun lalu.
Tiada pengakuan direkod selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohammed @ Mohamad Said kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, N. Deanesh, 53, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibunya, Catherine Daniel, 80.
Perbuatan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Hujan Abu 6, Taman OUG Brickfields, di sini, pada 1 Mac hingga 26 Mac 2021.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah menetapkan 7 Februari 2025 untuk sebutan laporan perubatan, bedah siasat, dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Pada 12 November lalu, media melaporkan seorang lelaki menghubungi talian MERS 999 mendakwa mengalami masalah kesihatan ketika berada di rumahnya, dan telah membunuh ibunya di kediaman sama tiga tahun lalu.
Polis dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi menemui lelaki itu terbaring di sebelah peti sejuk beku yang menempatkan mayat didakwa ibunya itu.
Suspek turut mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik.
Suspek ditahan di lokasi kejadian dan mayat yang ditemukan dalam peti sejuk beku itu kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Bedah siasat ke atas mayat wanita warga emas berusia lingkungan 80-an itu menemukan kesan kecederaan pada bahagian dada kesan hentakan objek tumpul yang dikenal pasti sebagai punca kematian.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252