Oleh: Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin
KESELAMATAN kampus merupakan elemen penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat untuk semua warga kampus.
Namun begitu, apabila berbicara soal keselamatan kampus, ia tidak seharusnya dilihat pada berapa ramai pengawal keselamatan yang ada, pemeriksaan apakah yang dibuat di pintu masuk utama kampus atau seberapa kerap rondaan di sekitar kampus.
Melihat dari perspektif yang lebih luas, keselamatan kampus tidak terbatas pada elemen selamat secara fizikal semata-mata, tetapi juga selamat (sihat) secara mental dan spiritual bagi penghuni kampus.
Di sinilah kita boleh melihatkan bagaimana elemen integrasi ilmu naqli dan aqli itu sebenarnya boleh dijadikan asas penting kepada mewujudkan kampus yang selamat.
Pendekatan integrasi ilmu naqli dan aqli secara holistik mampu membentuk komuniti kampus yang lebih selamat, harmonis, dan bertanggungjawab.
Dalam era serba moden kini, integrasi antara ilmu naqli menjadi semakin relevan untuk diaplikasikan dalam pelbagai pendekatan, tindakan, polisi mahupun dasar yang ingin diambil demi kemaslahatan warga kampus.
Sebagai seorang yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan kampus, pendekatan yang menggabungkan kedua-dua jenis ilmu ini dapat memberikan dampak yang lebih holistik, inklusif dan komprehensif dalam memastikan keselamatan kampus lebih terjamin.
Ajaran agama Islam, sebagai contoh, menggariskan prinsip-prinsip penting dalam menjaga nyawa, kehormatan, dan harta benda.
Prinsip-prinsip ini selari dengan kajian etika dan moral dalam sains sosial yang menekankan kepentingan persekitaran yang selamat dan sihat untuk semua individu.
Dengan menggabungkan nilai-nilai agama dan pengetahuan yang diperoleh melalui kajian saintifik, kita dapat membentuk komuniti kampus yang lebih bertanggungjawab dan berakhlak mulia melalui penguatkuasaan peraturan-peraturan yang diwujudkan apabila berada di dalam kampus.
Hukum syariah dalam Islam menekankan prinsip keadilan dan perlindungan, justeru apabila konsep ini digabung jalinkan bersama undang-undang sivil dalam sebarang penggubalan polisi keselamatan kampus, ia akan menghasilkan satu polisi yang efektif dan komprehensif kerana didasari dengan hikmah adil dan bukti yang kukuh.
Selain itu, kesihatan mental dan fizikal juga merupakan aspek penting dalam keselamatan kampus yang tidak boleh diabaikan.
Ajaran agama sering kali menekankan kepentingan menjaga kesihatan tubuh dan minda sebagai bentuk ibadah.
Pada masa yang sama, bidang psikologi dan perubatan moden pula menyediakan panduan dan kaedah saintifik untuk menjaga kesejahteraan mental dan fizikal.
Program-program kesihatan kampus yang menggabungkan nilai agama dan panduan perubatan moden dapat membantu pelajar dalam menjaga kesejahteraan mereka secara menyeluruh.
Pengelolaan risiko dan krisis memerlukan pendekatan yang bijaksana dan berteraskan ilmu.
Nilai-nilai agama dapat memberikan panduan dalam menghadapi krisis dengan sabar dan tawakal, serta saling membantu dalam komuniti, manakala pendekatan pengurusan risiko dan krisis yang berdasarkan analisis data dan prosedur saintifik adalah penting untuk mencegah dan mengatasi kejadian yang membahayakan.
Latihan kecemasan dan penilaian risiko yang kerap dijalankan di kampus merupakan contoh bagaimana pendekatan saintifik dapat digabungkan dengan nilai-nilai agama untuk memastikan keselamatan warga kampus.
Tidak dapat dinafikan pendidikan keselamatan adalah komponen utama dalam memastikan keselamatan kampus.
Pendidikan agama mengajarkan tanggungjawab peribadi dan sosial dalam menjaga keselamatan diri dan orang lain.
Ini boleh dilengkapi dengan pendidikan keselamatan yang berasaskan kajian dan amalan terbaik dalam pelbagai bidang seperti teknik, sains, dan kesihatan.
Dengan pendekatan pendidikan yang holistik ini, warga kampus dapat memahami dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan yang efektif dan berkesan.
Penulis, Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin adalah Pengarah Jabatan Keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252