KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pentadbirannya yang memasuki usia dua tahun sebagai masih baharu dan terlalu awal untuk menilai keseluruhan pencapaian Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas mengenai gred D yang diberikan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Beliau bagaimanapun optimis pentadbirannya akan mencapai ‘gred’ yang lebih baik pada masa akan datang.
“Tentang laporan Bersih, tak apalah Bersih bagi D, bukan F (gagal). UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dapat D, SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) esok naik A, Insya-Allah.. dia (kerajaan ini) baru sangat,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai laporan Bersih; isu kebebasan media; serta peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Bersih memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.
Kumpulan reformasi pilihan raya itu turut meletakkan Anwar di belakang pendahulunya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi mereka.
Menjawab lanjut, Anwar berkata mengenai kebebasan media kerajaan terikat dengan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung isu 3R iaitu agama, kaum dan raja, yang tidak mengizinkan sebarang tindakan terhadap pihak yang cuba menganggu ketenteraman awam.
Sementara berhubung peruntukan pembangkang, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa rundingan perlu dilakukan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadilah Yusof, bagi memuktamadkan isu tersebut.
“Tentang peruntukan, saya tidak faham hal ini pun termasuk dalam laporan Bersih. Dia mengenepikan kenyataan saya ketika itu sebagai Ketua Pembangkang bahawa saya berunding dengan Perdana Menteri.
“Setelah berunding, itu baru diputuskan dan kita tidak terima draf awal. Pandangan kita kepada Timbalan Perdana Menteri II jelas, (pihak pembangkang) harus berunding,” ujar beliau.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252