KUALA LUMPUR – Tidak ada keperluan bagi Peguam Negara mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Demikian kata isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, yang menyampaikan hasrat disuarakan Allahyarham ketika hayatnya, berhubung kes mahkamah yang dihadapi sejak lebih setahun lalu.
“Sejak awal siasatan SPRM kira-kira lebih setahun setengah lalu, kami secara konsisten mengatakan pertuduhan ini remeh, berniat jahat dan bermotifkan politik terhadap Allahyarham.
“Mereka tidak boleh menyatakan kesalahan, kerana tidak ada kesalahan sedemikian.
“Di sini, saya bagi pihak Allahyarham, ingin menegaskan bahawa adalah menjadi hasrat beliau supaya perbicaraan terhadapnya diteruskan di mahkamah sehingga tamat, walau apa pun terjadi kepadanya,” katanya dipetik Astro Awani.
Daim mendambakan harinya di mahkamah dan penuh yakin bahawa akhirnya beliau akan didapati tidak bersalah.
Na’imah berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menulis kepada Peguam Negara berkenaan perkara itu.
“Peguam saya seterusnya akan memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tentang keputusan kami bahawa perbicaraan perlu diteruskan apabila kes ini bersambung pada 20 November 2024,” katanya.
Tun Daim tidak menyimpan dendam – Keluarga
Pada Rabu lalu, Daim, 86, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.30 pagi di Hospital Assunta di Petaling Jaya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 dengan dihadiri lebih 500 orang termasuk ahli keluarga, kenalan rapat, pemimpin-pemimpin negara serta orang awam.
Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252