BERITA UTAMA
PM Anwar tiba di Brazil sempena lawatan rasmi, hadiri Sidang Kemuncak G20

PM Anwar tiba di Brazil sempena lawatan rasmi, hadiri Sidang Kemuncak G20

RIO DE JANEIRO (Brazil) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tiba di Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, dari Lima, Peru, untuk lawatan rasmi dan juga menghadiri sidang kemuncak G20 atas jemputan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.

Selain Malaysia, 16 negara lain, termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam adalah antara negara yang dijemput untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.

G20 terdiri daripada 19 negara dan dua kesatuan iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU dan Kesatuan Afrika (AU).

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Pangkalan Tentera Udara Galeao Rio De Janeiro di sini pada pukul 10.24 malam, 16 Nov (waktu Malaysia 9.24 pagi, 17 Nov).

Setiba di sini, Perdana Menteri disambut dengan Perbarisan Kehormat oleh wakil Tentera Udara Galeao, Timbalan Komander Leftenan Kolonel Buch Itamaraty dan Menteri Hal Ehwal Luar Brazil Councillor Orlando Timponi.

Turut hadir termasuk Duta Besar Malaysia ke Brazil, Gloria Tiwet, Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia, Muhamad Muhaimin bin Azmi dan Setiausaha Ketiga Kedutaan Malaysia, Anwar bin Umar Ruszaman.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Luar Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Delegasi Malaysia juga disertai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.

Di bawah tempoh Brazil menjadi presiden, Malaysia telah mengambil bahagian dalam dua inisiatif penting G20, iaitu Kumpulan Kerja Kelestarian Alam Sekitar dan Iklim (ECSWG) dan Inisiatif G20 mengenai Bioekonomi (GIB).

Semasa Sidang Kemuncak Pemimpin G20, Anwar akan menyampaikan pandangan Malaysia pada sesi “Fight Against Hunger and Poverty” (Menangani Kebuluran dan Kemiskinan) dan “Reform of Global Governance Institutions” (Reformasi Institusi Tadbir Urus Global).

Perdana Menteri juga dijadual bertemu dengan para pemimpin negara G20 untuk membincangkan isu dua hala dan pelbagai hala yang mempunyai kepentingan bersama.

Selain itu, beliau akan bertemu dengan presiden Brazil untuk membincangkan kerjasama dua hala, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta industri semikonduktor serta mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

Rio de Janeiro ialah bandar tepian pantai yang rancak dengan aktiviti di Brazil, terkenal dengan pantai ikoniknya seperti Copacabana dan Ipanema, patung Christ the Redeemer setinggi 38 meter di atas Gunung Corcovado serta Gunung Sugarloaf dengan pemandangan menakjubkan yang boleh lawati dengan menaiki kereta kabel.

Bandar ini juga terkenal dengan kawasan setinggan yang besar dipanggil “shantytown” selain festival Carnaval termasyhur di dunia yang dimeriahkan dengan perarakan pakaian berwarna-warni dan tarian samba.

Pada 2023, Brazil merupakan rakan dagangan ke-20 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-29 terbesar dan sumber import ke-17 terbesar.

Dalam kalangan negara Amerika Latin dan Caribbean, Brazil merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import terbesar. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *