BERITA UTAMA
'Please start your reform now', arahan pertama PM kepada Shamsul Azri

‘Please start your reform now’, arahan pertama PM kepada Shamsul Azri

PUTRAJAYA – Menjelang 100 hari sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar tekad memperkukuhkan matlamat reformasi perkhidmatan awam bagi meningkatkan kecekapan penjawat awam dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Dilantik secara rasmi pada 12 Ogos, beliau menerima arahan pertamanya pada malam pengumuman pelantikan pada 7 Ogos, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar mesej ringkas tetapi jelas: “Please start your reform now (Sila mulakan pembaharuan anda sekarang).”

“Oleh itu, keutamaan saya adalah untuk mereformasi perkhidmatan awam dan antara inti pati saya adalah kita mesti menyemak semula setiap tiga tahun, sekurang-kurangnya 25 peratus daripada peraturan, prosedur yang membebankan dan merosakkan (kepercayaan) pelanggan, kita kena kurangkan,” katanya kepada Bernama menerusi wawancara khas bersempena 100 hari pelantikannya sebagai KSN ke-16 yang jatuh pada 19 November ini.

Menurut Shamsul Azri, terdapat ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam perkhidmatan awam dan reformasi adalah penting sebagai asas untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Berusia 55 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat, Shamsul Azri berkata beliau menjadikan falsafah yang pernah diungkap oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy ‘ask not what your country can do for you, ask what you can do for your country’ (jangan tanya apa negara boleh lakukan untuk anda, tanya apa yang anda boleh lakukan untuk negara) sebagai motivasi pada awal kerjayanya.

Berkongsi pengalaman dalam tempoh 100 hari pertama menerajui perkhidmatan awam, beliau tidak menolak hakikat wujudnya beberapa cabaran utama yang memerlukan pendekatan baharu dan segar.

“Cabaran pertama adalah mengubah cara pemikiran, tindakan dan budaya kerja. Reformasi yang melibatkan rasionalisasi sektor awam, termasuk Badan Berkanun Persekutuan dan CLBG (Syarikat Berhad Menurut Jaminan) memerlukan pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif.

“Cabaran kedua ialah memastikan peraturan lapuk serta tidak mesra perniagaan dikaji dan diperbaharui, tanpa mengorbankan integriti dan tatakelola. Seperti disebut oleh Perdana Menteri sebagai ‘Islah Masta To’tum’ iaitu melaksanakan penambahbaikan semampu mungkin untuk memastikan perkhidmatan awam kekal relevan dan efisien,” katanya.

Cabaran ketiga pula adalah berkaitan sistem dan prosedur kerja konvensional yang telah lama diamalkan, dan dengan kemajuan digitalisasi, penyampaian perkhidmatan secara fizikal semakin beralih kepada perkhidmatan dalam talian.

“Setakat ini, pelaksanaan perkhidmatan secara dalam talian atau E2E telah mencapai tahap 70 peratus, namun beberapa sistem dan prosedur masih perlu diubah untuk meningkatkan kelajuan dan keberkesanan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, sebagai usaha membawa transformasi, Shamsul Azri menekankan nilai semangat M.E.R.D.E.K.A – Menumpah Taat Setia, Empati Kepada Rakyat, Relevan, Dedikasi, Emosi, Karismatik, dan Amanah – yang beliau perkenalkan kepada penjawat awam sebagai panduan untuk perkhidmatan yang lebih telus dan berorientasikan rakyat.

Beliau turut mengajak warga perkhidmatan awam untuk menghayati nilai M.A.L.A.Y.S.I.A – Mesra, Adil, Luhur, Amanah, Yakin, Setia, Islah, dan Arif – sebagai pegangan dalam menyokong matlamat reformasi yang diimpikan untuk negara.

Dengan semangat ini, beliau tekad menjayakan reformasi perkhidmatan awam yang menepati aspirasi rakyat, membina perkhidmatan berlandaskan integriti dan menyampaikan hasil lebih baik kepada negara.

Shamsul Azri berkata beliau berhasrat untuk bertemu dan berinteraksi secara langsung dengan semua 1.6 juta penjawat awam, namun mengakui berdepan dengan keterbatasan dari segi masa dan lokasi.

“Oleh itu, saya menggalakkan penjawat awam untuk mengikuti akaun media sosial saya di Facebook (Shamsul Azri bin Abu Bakar), Instagram (@shamsulazri.abubakar) dan Twitter (@shamsulazribakr), bagi mengikuti perkembangan serta berkongsi agenda reformasi perkhidmatan awam.

You will never walk alone (Anda tidak bersendirian),” katanya, memetik slogan kelab bola sepak Inggeris yang diminatinya, Liverpool. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *