Oleh: Mazlan Syafie
SATU ekspedisi bermula dengan penuh harapan pada tahun 1845 berakhir dengan tragedi menghantui sejarah pelayaran selama hampir dua abad. Inilah kisah Ekspedisi Franklin yang menggerunkan – satu pengajaran me genai kelemahan manusia di hadapan keagungan alam ciptaan Allah.
HMS Erebus dan HMS Terror, dua kapal British dilengkapi teknologi paling maju pada zamannya, memulakan pelayaran dengan 129 anak kapal di bawah pimpinan Sir John Franklin.
Matlamat mereka adalah untuk mencari Laluan Barat Laut yang akan memendekkan perjalanan ke Asia. Kapal-kapal ini bukan kapal biasa – ia diperkukuh dengan badan besi untuk memecah ais, sistem pemanasan dalaman menggunakan landasan besi untuk mengalirkan haba dan bekalan yang mampu menampung kehidupan selama tiga tahun.
Namun, ketentuan Allah berkata lain apabila kedua-dua kapal itu terperangkap dalam ais tebal berhampiran Pulau King William pada tahun 1846. Suhu terlampau sejuk hingga mencecah -50°C menyebabkan sistem pemanasan mereka tidak berguna.
Pergerakan ais Artik yang perlahan, dikenali sebagai ‘aliran glasier’, dipercayai telah menyeret kapal-kapal ini ke dasar laut, menyebabkan kehilangan mereka selama lebih 170 tahun.
Satu penemuan mengejutkan ialah catatan terakhir dijumpai dalam bekas batu pada tahun 1859. Bertarikh 25 April 1848, dokumen itu menyatakan Sir John Franklin telah meninggal dunia pada 11 Jun 1847 dan 105 anak kapal yang masih hidup terpaksa meninggalkan kapal mereka.
Tiada siapa yang tahu ke mana mereka pergi selepas itu, walaupun kesan tapak kaki menunjukkan mereka telah berjalan sejauh beratus-ratus kilometer di atas ais.
Tragedi ini menjadi lebih dahsyat apabila kajian moden mendedahkan pelbagai punca kematian anak kapal. Keracunan plumbum daripada tin makanan yang tercemar menyebabkan kegagalan organ dan halusinasi.
Ditambah pula dengan kebuluran, penyakit skurvi dan hipotermia (suhu badan terlalu rendah), keadaan mereka menjadi semakin teruk. Penemuan tulang-tulang manusia dengan kesan potongan menunjukkan sesetengah anak kapal terpaksa memakan daging rakan sendiri untuk terus hidup.
Masyarakat Inuit, penduduk asal Artik, memainkan peranan penting dalam memberikan maklumat mengenai tragedi itu. Mereka menceritakan mengenai lelaki berkulit putih yang kelaparan dan kisah “kapal besar” ditinggalkan di tengah ais.
Cerita mereka mengenai lelaki yang menjadi tidak siuman dan bercakap seorang diri sebelum meninggal dunia menguatkan lagi teori kesan keracunan plumbum.
Satu fakta yang menggerunkan ialah laporan mengenai kejadian pelik diceritakan oleh masyarakat Inuit selama lebih seabad. Mereka melihat cahaya terang yang tidak dapat dijelaskan di sekitar Pulau King William.
Ada menganggapnya sebagai “kapal berhantu” yang terapung di atas ais, walaupun para saintis mengatakan ia mungkin cahaya aurora borealis yang terpantul dari permukaan ais.
Misteri ini akhirnya mula terbongkar pada tahun 2014 apabila bangkai HMS Erebus ditemui, diikuti dengan penemuan HMS Terror dua tahun kemudian. Yang mengagumkan, kedua-dua kapal berada dalam keadaan hampir sempurna kerana suhu Artik yang sejuk telah bertindak sebagai pengawet semula jadi.
Penemuan pelbagai barang peribadi seperti sikat rambut, sudu, tin makanan, dan selimut yang diperbuat daripada bulu beruang kutub memberikan gambaran tentang perjuangan terakhir anak kapal untuk terus hidup.
Satu lagi penemuan menarik ialah diari-diari yang masih boleh dibaca walaupun selepas lebih 170 tahun di dalam air yang sejuk. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252