Laporan: Berita Harian
KUALA LUMPUR – Allahyarham Tun Daim Zainuddin, yang meninggal dunia pagi tadi adalah figura penting di Malaysia yang memulakan karier politiknya pada 1980-an.
Pemergian Allahyarham atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, semestinya dirasai segenap lapisan rakyat Malaysia yang dikenali memainkan peranan penting dalam mengemudi Malaysia melalui beberapa cabaran ekonomi, termasuk krisis kewangan Asia pada 1997.
Allahyarham meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di Petaling Jaya, pada jam 8.21 pagi tadi pada usia 86 tahun.
Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sejak dua minggu lalu.
Allahyarham pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan dua kali dengan yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Berasal dari Alor Setar, Kedah, Allahyarham dilahirkan pada 29 April 1938 serta anak bongsu daripada 13 beradik. Bapanya bekerja sebagai kerani kerajaan, manakala ibunya seorang suri rumah.
Allahyarham memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Kedah dan Institut St Xavier, Pulau Pinang.
Kerjaya beliau juga bermula sebagai guru sementara di KSAH pada 1957.
Dasar visi beliau dan pendekatan langsung terhadap pembangunan ekonomi negara memainkan peranan penting dalam mengubah ekonomi Malaysia menjadi berkembang pesat.
Allahyarham juga adalah seorang ahli perniagaan terkenal dan disegani, sebelum menceburi politik telah mempunyai banyak syarikat dan perniagaan termasuk di luar negara.
Antara 1979 dan 1984, beliau adalah Pengerusi Peremba Bhd, unit Perbadanan Pembangunan Bandar, yang antara sebuah syarikat mempelopori pembabitan aktif Bumiputera dalam syarikat awam tersenarai.
Beliau turut terbabit sebagai pemaju hartanah di Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri. Daim turut memiliki jumlah saham yang besar dalam United Malayan Banking Corporation (UMBC) dan Malaysian-French Bank ketika itu.
Beliau juga menjadi pengerusi Fleet Holdings Sdn Bhd, sebuah kumpulan media utama, dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3).
Beliau juga pernah memegang jawatan Bendahari Agung UMNO antara tahun 1984 hingga 1999 dan juga Bendahari Barisan Nasional (BN).
Allahyarham mula bersara daripada politik pada 2001, namun membuat kemunculan semula pada 2018 apabila dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) apabila Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum kepada Pakatan Harapan ketika itu.
Antara peranan MPK ialah mesyuarat dan pendengaran bagi mendapatkan maklum balas untuk kerajaan, serta menubuhkan jawatankuasa 1MDB dan jawatankuasa reformasi institusi.
Selain daripada ekonomi, semangat Allahyarham dalam pembangunan sosial dapat dilihat melalui penglibatannya dalam pelbagai inisiatif amal dan kebajikan.
Beliau teguh berpendirian untuk memastikan peluang yang sama kepada semua, tanpa mengira latar belakang atau status sosial. Sumbangannya dalam pendidikan dan inisiatif kesihatan meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan rakyat Malaysia.
Komitmen Allahyarham terhadap perkhidmatan awam tidak pernah luntur, walaupun selepas bersara daripada politik aktif.
Beliau terus memberikan kepakarannya dan nasihat kepada pemimpin politik, sambil juga memperjuangkan dasar-dasar inklusif yang memartabatkan golongan kurang berkemampuan dan terpinggir.
Namun, beberapa bulan sebelum pemergiannya, beliau terpalit dengan isu perundangan. Pada 29 Januari lalu, Allahyarham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 67, pula didakwa pada 23 Januari lalu atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252