PERIHAL mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. yang diceritakan oleh salah seorang tokoh politik tersohor tanah air baru-baru ini telah mengundang pertelingkahan dan perlecehan sesama umat Islam. Video beliau berkongsi kisah tersebut telah menjadi tular di media sosial sehingga menjadi modal fitnah serta kekeliruan dalam masyarakat terhadap agama Islam.
Sebagaimana yang difahami, mimpi adalah satu pengalaman spiritual yang dialami oleh setiap orang ketika tidur. Sesetengah orang berpandangan mimpi hanyalah mainan tidur, namun ada sebahagian lain percaya bahawa mimpi juga boleh menjadi petunjuk kepada seseorang.
Dalam Islam, mimpi yang baik datangnya dari Allah, sementara mimpi yang buruk adalah daripada syaitan. Mimpi boleh menjadi berita gembira tentang sesuatu yang baik atau amaran tentang sesuatu yang buruk. Kerana itu seseorang yang bermimpi boleh terbatal wuduknya atau perlu mandi wajib jika dia mengalami mimpi.
Disebabkan polemik mengenai isu melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidur atau bermimpi bertemu Baginda s.a.w. menjadi hangat ketika ini, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mantan Mufti Wilayah Persekutuan telah mengambil inisiatif menerbitkan e-book hasil kajiannya bertajuk “Melihat Rasulullah s.a.w. di Alam Mimpi: Antara Kebenaran dan Dakwaan”.
Menurutnya, walaupun sebelum ini telah diterbitkan sebuah buku bertajuk “Mengungkap Sebuah Mimpi” pada pertengahan tahun 2024 lalu, namun e-book ini adalah perbincangan secara khusus kepada isu yang dinyatakan di atas.
Tambahnya lagi, topik ini cukup menarik perhatian dan amat penting untuk diperhalusi dengan baik supaya tidak menimbulkan polemik berterusan dari pelbagai aspek sama ada politik, kepercayaan masyarakat terhadap agama dan sebagainya.
Kajian ini perlu dititipkan kepada masyarakat agar mereka sentiasa berhati-hati dalam menisbahkan sesuatu kepada Rasulullah s.a.w. sehingga dipastikan kesahihannya. Disamping itu tidak melemparkan tuduhan melulu atau mempersendakan mimpi yang agung ini kerana mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. merupakan peristiwa yang benar dan ia diperakukan dari sudut syarak.
Sementara itu, kupasan lanjut dalam e-book ini terdapat banyak perbincangan yang dikongsikan melalui bab per bab antaranya ialah pemahaman mengenai mimpi dari sudut bahasa dan istilah. Menurut perspektif Islam terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seorang muslim. Daripada Auf bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda,
“Mimpi itu ada tiga jenis. Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam, mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian” (HR Ibnu Majah)
Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan dari Baginda s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya mimpi itu mempunyai tiga jenis. Mimpi yang baik itu merupakan berita gembira itu yang datang daripada Allah, mimpi yang buruk dan membawa kesedihan itu adalah daripada syaitan. Dan mimpi yang disebabkan oleh apa yang berlaku ke atas seseorang itu. Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain” (HR Muslim)
Mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. adalah antara mimpi yang sangat didambakan oleh setiap muslim yang beriman. Namun timbul pula persoalan adakah orang yang dilihatnya dalam mimpi itu benar-benar adalah Baginda s.a.w.
Meskipun terdapat hadis yang menyatakan bahawa syaitan tidak boleh menyerupai Rasulullah s.a.w. di dalam mimpi, namun syaitan boleh menyerupai orang lain dan lalu mendakwa itu adalah Baginda s.a.w.
Menjadi permasalahan bagi mereka yang tidak pernah bertemu Baginda tidak sepertimana para sahabat, lalu siapa yang dapat mengesahkan orang yang dia temukan dalam mimpi adalah benar Rasulullah s.a.w. atau tidak?
Sehubungan dengan itu, apabila ada yang mendakwa bahawa mereka telah bertemu Rasulullah s.a.w. di dalam mimpi, ada beberapa kriteria yang digariskan oleh ulama dalam mensahihkan dakwaan tersebut.
Bukan itu sahaja, malah beberapa ulama juga sepakat mengatakan bahawa bermimpi bertemu Rasulullah tidak boleh dijadikan hujah dalam menetapkan sesuatu hukum atau perkara yang telah pun disyariatkan.
Perkara sebegini sering berlaku dalam kalangan mereka yang mendakwa diri sebagai pengamal tasawwuf. Ada yang mendakwa dia bermimpi Rasulullah s.a.w. dan Baginda menyuruh melakukan sesuatu, lalu dia melakukannya hingga mengabaikan batasan syariat. Perbuatan ini jelas salah dalam Islam kerana mimpi bukan medium penetapan hukum.
Imam Nawawi menukilkan daripada al-Qadhi ‘Iyad bahawa bermimpi melihat Rasulullah ini tidak menjadi hujah yang membatalkan mana-mana sunnah sedia ada, dan ia juga tidak menetapkan satu sunnah yang tidak thabit.
Beginilah yang disepakati oleh ulama dan ia juga pendapat ulama lain dalam mazhab as-Syafie serta selainnya. Mereka bersepakat bahawa apa yang telah ditetapkan dalam syariat tidak boleh diubah hanya berdasarkan mimpi seseorang.
Hal ini kerana keadaan tidur bukanlah keadaan seseorang itu menekuni sesuatu, memastikan ketetapan, atau pemahaman yang jelas terhadap apa yang didengari olehnya. Bahkan ulama juga bersepakat bahawa syarat untuk menerima suatu riwayat dan kesaksian seseorang adalah dengan dia mempunyai kesedaran sepenuhnya, tidak lalai, tidak lemah hafalannya, tidak kerap melakukan kesilapan dan tekun. Orang yang sedang tidur tidak mempunyai ciri-ciri ini maka riwayatnya menerusi mimpi tidak diterima
Sememangnya ada banyak lagi perbincangan secara khusus terkait dengan mimpi Rasulullah s.a.w. yang dititipkan oleh Dr. Zulkifli dalam e-book ini yang pastinya akan meluaskan lagi pemahaman kita tentang makna sebenar mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. agar tidak mudah terpedaya dengan dakwaan-dakwaan sesetengah pihak. Malah ia juga dapat merungkai sebarang kekeliruan yang bersarang dalam minda.
Untuk mendapatkan e-book: Melihat Rasulullah s.a.w. di Alam Mimpi: Antara Kebenaran dan Dakwaan”. Anda boleh muat turun secara percuma di https://maktabahalbakri.com/al-inarah/
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252