IPOH – AMANAH tidak mengongkong atau menyalahkan pimpinan parti itu di Johor yang menuntut 20 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sehingga mencetuskan ketegangan dengan UMNO.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata beliau berpandangan tuntutan itu wajar memandangkan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor ketika ini tidak mencerminkan komposisi Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, beliau yakin pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) memiliki keterbukaan yang luas dan boleh diajak berunding bagi memastikan tiada pertembungan antara dua parti itu dalam PRN akan datang.
“Itu (kemelut AMANAH dan UMNO di Johor) perkara biasa, bagi saya selagi belum ada satu kata putus daripada perundingan, maka sudah tentu akan ada pihak yang menuntut, akan ada pihak yang mengatakan ini hak kami dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda AMANAH Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim.
Sebelum ini, pengagihan kerusi di Johor seakan sedikit tegang apabila AMANAH Johor tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada PRN akan datang.
Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, negeri itu masih di bawah kepimpinan BN dan belum membentuk Kerajaan Perpaduan walaupun selepas menang dalam PRK Mahkota baru-baru ini.
Beliau dipetik berkata, AMANAH Johor sedia untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor, sama ada bersama dengan BN atau dengan gabungan asal PH.
Kenyataan itu mengundang reaksi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menasihati AMANAH Johor supaya berhenti berpolitik, sebaliknya membantu rakyat.
Ditanya sama ada pimpinan utama AMANAH ada menegur Dzulkefly, Mahfuz berkata, pihaknya memberikan sedikit kebebasan dan ruang kepada pemimpin peringkat negeri menyatakan tuntutan kerana itu hak mereka. – BHNews
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252