PUTRAJAYA – Bilangan penagih dadah di seluruh negara meningkat 31.6 peratus kepada 169,691 orang bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 128,911 orang yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata berdasarkan statistik itu, 162,360 penagih adalah lelaki manakala wanita pula 7,331 orang.
Beliau berkata statistik mengikut kategori dadah pula menyaksikan jenis dadah sintetik penyumbang angka paling banyak iaitu 119,410 orang bagi tempoh itu.
“Jenis dadah sintetik ini adalah dalam kategori ‘Amphetamine Type Stimulants’ (ATS) yang dihasilkan secara pemprosesan campuran bahan kimia antaranya syabu, ice dan batu dalam bentuk kristal.
“Dalam bentuk tablet pula seperti pil kuda, ecstacy dan pil yaba. Dadah jenis opiat pula mencatatkan angka kedua tertinggi dengan catatan kes melibatkan 38,854 orang, diikuti dadah jenis ganja (6,750 orang) dan pil psikotropik (2,114 orang),” katanya.
Berucap pada program Sembang Santai Ketua Pengarah AADK Bersama Media di sini hari ini, beliau berkata golongan belia berusia antara 19 hingga 39 tahun mencatatkan angka paling tinggi dalam kes penyalahgunaan dadah iaitu 98,977 kes.
“Ia diikuti golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas sebanyak 69,937 kes.
“Bagi golongan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun pula mencatatkan 776 kes manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun mencatatkan satu kes bagi tempoh hingga September ini,” katanya.
Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024, beliau berkata pelaksanaan akta ini dapat memperluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan serta menggalakkan lebih ramai penagih untuk tampil secara sukarela.
“Peruntukan baharu mengenai rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah atau bahan merupakan peruntukan yang signifikan bagi menterjemahkan Dasar Pengalihan daripada sistem pemenjaraan kepada program rawatan dan pemulihan,” katanya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252