KOTA BHARU – Polis masih menyiasat sama ada enam rakyat Malaysia yang ditahan di sebuah hotel di Golok, Thailand kerana memiliki 6,000 biji pil pagi kelmarin menganggotai sindiket penyeludupan dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, siasatan sedang dijalankan dengan bantuan rakan sejawatannya dari Thailand.
Beliau berkata, polis belum menentukan sama ada 6,000 pil yang dirampas polis Thailand adalah untuk pasaran Malaysia.
“Saya dimaklumkan siasatan berhubung kes itu masih dijalankan oleh polis Thailand dan mereka akan mendapatkan perintah reman terhadap rakyat Malaysia tidak lama lagi.
“Kami tidak dapat mengesahkan sama ada pil itu akan diseludup ke Malaysia menerusi pangkalan haram kerana siasatan sedang dijalankan oleh rakan sejawatan kami di Thailand.
“Pada masa sama, kita tingkatkan kawalan di semua pangkalan haram bagi mengelak kemasukan barangan terlarang termasuk dadah,” katanya dipetik BHNews.
Semalam media melaporkan, enam rakyat Malaysia, termasuk seorang artis wanita, ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand, awal pagi kelmarin.
Semua mereka yang berusia 25 hingga 32 tahun ditahan jam 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik selepas selesai berhibur.
Tangkapan enam individu membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan itu turut menemui 6,000 biji pil yaba. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252