BERITA UTAMA
Amanah sambut baik Bajet 2025, anggap suatu yang realistik – Dr. Mujahid

Amanah sambut baik Bajet 2025, anggap suatu yang realistik – Dr. Mujahid

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyambut baik pembentangan Belanjawan Madani 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Walaupun pengurangan defisit berjaya dikurangkan 3.8 peratus dari sasaran 3.3 peratus, namun ia sesuatu yang realistik, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Madani untuk mengawal tahap keberhutangan negara, kata Timbalan Presidennya, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, Bajet 2025 turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi 2025 kepada 5.5 peratus, sesuatu yang optimis dan boleh tercapai memandangkan pada separuh pertama 2024 Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus.

“Belanjawan 2025 bukan sahaja realistik, tetapi juga komprehensif dan inklusif dengan fokus pembelaan terhadap rakyat sama ada golongan kaya dan berada, golongan menengah dan profesional serta rakyat umum, termasuk golongan miskin tegar, pelajar, belia, wanita, Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Rakyat berasa lega dengan pengumuman untuk meneruskan dan memperkasa Program Payung Rahmah.

“Sejumlah RM700 juta untuk saluran program Rahmah jelas satu keutamaan Kerajaan Madani bagi menangani kos sara hidup bagi golongan yang terkesan,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Menurut Dr. Mujahid, ini ditambah lagi dengan bantuan SARA dan STR bernilai RM13 billion untuk memberi manfaat kepada sembilan juta penerima dan merupakan terbesar sejak diperkenalkan.

 

Berhubung Isu keterjaminan makanan, katanya, ia terus diberi fokus dengan tambahan RM300 juta menerusi penanaman bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan tanaman padi di Negeri Sembilan, termasuk inisiatif penanaman padi untuk lima musim sudah tentu memberi impak positif bagi menjana sektor pertanian domestik dan mengurangkan import bahan makanan asasi dari luar negara.

“Tahniah kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atas inisiatif beliau.

“Kewangan Islam terus diberi tumpuan dengan kedudukan Malaysia yang menjadi destinasi kewangan Islam dalam senarai 10 terbaik di dunia.

“Untuk itu, RM100 juta diperuntukkan untuk penerokaan modal Islam (IVC) melalui kaedah Musyarakah dan Mudharabah,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Halal Jakim yang diberikan peruntukan tambahan pegawai audit Halal untuk melicinkan proses pensijilan Halal yang semakin meningkat.

“Amanah optimis melalui pengemblengan seluruh agensi pelaksana, sektor awam, swasta, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan serta seluruh rakyat, Belanjawan 2025 akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia dan geopolitik global yang terus bergolak,” ujar beliau. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *